Khamis, 28 April 2022 | 11:16am

Kek RM1 laris sepanjang Ramadan

KOTA BHARU: Walaupun umum mengetahui harga barangan runcit semakin meningkat, sepasang suami isteri tetap menjual sepotong kek berharga RM1 dengan niat bersedekah sempena Ramadan.

Pasangan suami isteri berkenaan, Muhamad Faiz Fauzi, 32, dan Nor Rusyidah Md Rashid, 32, mula mempromosikan kek pelbagai perisa itu sejak Ramadan tahun lalu dan permintaan menggalakkan kerana harganya yang amat murah.

Nor Rusyidah berkata, dia menjual sehingga 20 jenis kek pelbagai perisa dan setiap hari sebanyak 2,000 potong kek habis dijual di kedai kek miliknya dan bazar Ramadan di Taman Bendahara, Pengakalan Chepa.

"Dengan harga yang murah ini, ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban pelanggan terutama yang mempunyai anak ramai kerana pelanggan saya bukan sahaja dalam kalangan dewasa, malah ada juga kanak-kanak. Antara kek yang laris dijual dan menjadi pilihan pelanggan ialah cheesekut, red velvet serta chocolate moist.

"Walaupun berdepan dengan kenaikan harga barangan runcit seperti gula, tepung dan lain-lain selain mendapat untung sedikit, itu tidak menjadi masalah kerana yang penting bagi saya, semua orang boleh merasai pelbagai perisa kek dijual pada harga RM1 sepotong.

"Meskipun harganya murah, saya sentiasa menjaga kualiti kek yang dihasilkan demi kepuasan pelanggan," katanya ketika ditemui di kedai keknya di Kampung Badang.

Ibu kepada seorang cahaya mata ini berkata, ramai pelanggan meluahkan rasa terkejut apabila mendapat tahu harga kek yang dijual hanya RM1 sepotong.

"Saya hanya tersenyum dan memberitahu ini semua untuk infak selain daripada meneruskan perniagaan seperti biasa.

"Seronok rasanya apabila dapat melihat pelanggan menikmati serta membeli kek dengan harga yang murah sebab tidak semua

dalam kalangan kita yang berkemampuan lebih-lebih lagi dalam situasi ekonomi sekarang," katanya yang turut dibantu sembilan pekerja.

Nor Rusyidah yang memiliki ijazah Sarjana Muda Bahasa Gunaan (Bahasa Melayu Komunikasi Profesional) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, berkata dia pernah bekerja dengan sebuah badan berkanun di Selangor selama dua tahun sebelum mengambil keputusan pulang ke kampung pada tahun 2017 untuk menjaga ibunya yang sedang sakit pada ketika itu.

"Alhamdulillah, beberapa bulan selepas itu, keadaan ibu kembali sihat dan saya bersama suami berbincang untuk membuka perniagaan secara kecil-kecilan memandangkan wang simpanan kami sudah hampir kehabisan.

"Bertitik tolak daripada itu kami mula mencari kedai dan menjual kek secara kecil-kecilan sejak lima tahun lalu dan kini mempunyai

satu lagi cawangan kedai kek di Pengkalan Chepa," katanya.

Nor Rusyidah bersama suaminya, Muhamad Faiz menjual kek berharga RM1 dengan niat bersedekah sempena Ramadan ketika ditemui di Kampung Badang. - Foto NSTP/Hazira Ahmad Zaidi
Nor Rusyidah bersama suaminya, Muhamad Faiz menjual kek berharga RM1 dengan niat bersedekah sempena Ramadan ketika ditemui di Kampung Badang. - Foto NSTP/Hazira Ahmad Zaidi
Berita Harian X