Selasa, 26 April 2022 | 7:14pm
Keadaan di Jalan Sultan Azlan Shah yang dinaiki air selepas hujan lebat di sekitar ibu kota sehingga ditenggelami air dan tidak boleh dilalui oleh kenderaan ketika tinjauan BERNAMA, semalam.
Keadaan di Jalan Sultan Azlan Shah yang dinaiki air selepas hujan lebat di sekitar ibu kota sehingga ditenggelami air dan tidak boleh dilalui oleh kenderaan ketika tinjauan BERNAMA, semalam.

Peniaga makanan tanggung rugi akibat banjir kilat

KUALA LUMPUR: Banjir kilat yang melanda ibu negara semalam, turut menyebabkan kerugian kepada peniaga, terutama peniaga makanan di Bazar Ramadan dan kedai makan.

Presiden Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosli Sulaiman, berkata ini kerana makanan terutama yang sudah siap dimasak, tidak dapat dijual akibat ketiadaan pelanggan.

Katanya, walaupun kerugian yang dialami peniaga bukanlah dalam jumlah yang besar, mereka amat terkesan, terutama peniaga yang menggunakan modal sendiri untuk berniaga atau yang baru memulakan perniagaan selepas terkesan dengan COVID-19.

"Jika keadaan banjir kilat ini terus berlarutan sudah pasti peniaga makanan akan terus mengalami kerugian apabila pelanggan tidak dapat datang berikutan banyak laluan tersekat.

"Saya amat berharap pihak bertanggungjawab mengambil tindakan sewajarnya supaya masalah banjir kilat ini dapat diatasi bagi membantu peniaga tidak terus mengalami kerugian," katanya kepada BH, di sini, hari ini.

Semalam, beberapa jalan utama di sekitar ibu negara ditenggelami air susulan hujan lebat berterusan kira-kira satu jam.

Antara laluan yang sesak dan dinaiki air adalah Jalan Segambut, Jalan Kuching, Jalan Pudu, Jalan Ampang, Jalan Genting Klang, Jalan Sungai Besi, Jalan Tun Razak dan Jalan Tuanku Abdul Halim.

Keadaan itu mengakibatkan berlaku kesesakan teruk berikutan berlaku pada waktu puncak orang ramai pulang dari tempat kerja.

Justeru beliau amat berharap, pihak berkuasa tempatan (PBT) kerap menyelenggara parit bagi memastikan ia tidak tersumbat dengan sampah kerana ia menjadi antara punca utama masalah banjir.

Selain itu katanya, PBT perlu meningkatkan penguatkuasaan bagi memastikan pengurusan kawasan pembinaan membuang sisa pembinaan dengan sistematik supaya tidak masuk ke longkang yang akhirnya boleh menyebabkan ia tersumbat.

"Saya juga mencadangkan kepada PBT supaya mengambil tindakan tegas dengan menyaman mereka yang dikesan membuang sampah merata-rata seperti yang dilaksanakan di Singapura.

"Tindakan ini walaupun mengenakan jumlah saman serendah RM50, pasti akan terkesan dan membuatkan mereka merasa takut melakukan kesalahan membuang sampah terutama terhadap warga asing yang banyak bekerja di negara ini," katanya.

Mengulas lanjut katanya, tindakan saman itu pasti mampu dilaksanakan jika PBT berkenaan mendapat kerjasama pihak berkuasa seperti polis dan tentera.

Berita Harian X