Isnin, 25 April 2022 | 9:42pm

PAIP sedia lebih 1,000 tangki hadapi sambutan raya

KUANTAN: Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) akan menyediakan 1,149 tangki statik untuk meringankan kesulitan pengguna sekiranya menghadapi masalah bekalan air ketika musim sambutan Aidilfitri.

Ketua Pegawai Eksekutif PAIP, Saiful Zaini Mohd Bokhari, berkata sebanyak 27 lori tangki air dan enam tangki jumbo turut disediakan di seluruh kawasan yang dijangka mengalami gangguan bekalan air.

Katanya, premis kritikal seperti pusat dialisis, pusat jagaan warga emas dan hospital akan dibantu sekiranya ada permintaan.

"Bagi sambutan Aidilfitri ini, PAIP menyediakan beberapa pelan tindakan bagi memastikan kelangsungan bekalan air dan meringankan kesulitan pengguna sekiranya menghadapi masalah bekalan air ketika musim perayaan.

"Permintaan bekalan air meningkat ketika musim perayaan apabila orang ramai pulang ke kampung, sekali gus menyebabkan beberapa kawasan mengalami tekanan rendah terutama di kawasan FELDA dan kampung tradisional," katanya.

Terdahulu, Saiful Zaini meraikan petugas media pada majlis berbuka puasa di sebuah hotel di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya, sebanyak 73 Loji Rawatan Air (LRA) akan beroperasi secara maksimum bagi memenuhi permintaan musim perayaan yang dijangka meningkat antara dua hingga tiga kali ganda.

Katanya, petugas akan bekerja 24 jam mengikut jadual ditetapkan bagi menghadapi musim perayaan.

"PAIP melaksanakan penyelenggaraan dan servis aset lebih awal sebagai langkah proaktif menghadapi musim perayaan.

"Pengguna dinasihatkan menggunakan air secara berhemah dan menyimpan bekalan air secukupnya sebagai persediaan musim perayaan.

"Untuk sebarang aduan pengguna boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan (PULAPEL) di talian 09-573999," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), Saiful Zain Mohd Bokhari (tengah) beramah mesra bersama petugas media pada majlis Iftar Bersama Media di Kuantan, hari ini. - NSTP/Farizul Hafiz Awang
Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), Saiful Zain Mohd Bokhari (tengah) beramah mesra bersama petugas media pada majlis Iftar Bersama Media di Kuantan, hari ini. - NSTP/Farizul Hafiz Awang
Berita Harian X