Khamis, 21 April 2022 | 11:42am
Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Bashir Alias (empat kanan) menyerahkan replika cek bernilai RM3.2 juta bantuan keseluruhan MAIWP kepada 4,000 asnaf di Labuan.
Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Bashir Alias (empat kanan) menyerahkan replika cek bernilai RM3.2 juta bantuan keseluruhan MAIWP kepada 4,000 asnaf di Labuan.

MAIWP agih RM3.2 juta zakat sempena Aidilfitri kepada asnaf di Labuan

LABUAN: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan mengagihkan RM3.2 juta wang zakat kepada golongan asnaf di pulau ini sebagai bantuan menyambut Aidilfitri, bulan depan.

Perkara itu dimaklumkan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Bashir Alias, pada majlis iftar dan penyampaian sumbangan kepada asnaf di Masjid Al Munawar, Kampung Pohon Batu, di sini, kelmarin.

Katanya, MAIWP Labuan menyenaraikan seramai 4,000 asnaf di pulau ini layak menerima bantuan zakat berkenaan dengan setiap seorang menerima RM800.

"Pihak MAIWP menyediakan bantuan Aidilfitri sebanyak RM800 seorang kepada 4,000 asnaf di pulau ini membabitkan agihan wang zakat sebanyak RM3.2 juta," katanya pada majlis berkenaan.

Seramai 100 asnaf dari Kampung Pohon Batu dan Kampung Batu Manikar, di sini, diraikan dalam majlis berkenaan.

Pada majlis itu, MAIWP turut menyampaikan bantuan berupa wang tunai sebanyak RM100 dan barangan keperluan dapur bagi membantu asnaf sempena Ramadan.

Sementara itu, Bashir berkata, penganjuran majlis berkenaan membuktikan MAIWP sentiasa mengikuti perkembangan semasa dalam mempelbagaikan bantuan dan berusaha meningkatkan sosio ekonomi bagi memastikan kesejahteraan umat Islam melalui sistem pengurusan dan pembangunan yang berlandaskan hukum syarak menggunakan sumber MAIWP.

Berita Harian X