Rabu, 20 April 2022 | 5:28pm

3 pelajar terima biasiswa Yayasan Terengganu ke Jepun

KUALA TERENGGANU: Tiga pelajar berjaya terpilih sebagai menerima biasiswa Skim Pelajar Cemerlang (SPC) Yayasan Terengganu Ke Luar Negara 2022 untuk melanjutkan pengajian di Jepun.

Pelajar terbabit ialah Wan Nur Fazliyatul Adawiyyah Wan Muhamed Fakry, 19; Muhammad Syarif Salzali, 19; dan Wan Muhammad Amirul Sofian Wan Ruhazlan, 19.

Bagi Wan Nur Fazliyatul Adawiyyah yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020, pemberian biasiswa itu sangat membantu dirinya dalam mengikuti pengajian kejuruteraan elektrik di Jepun nanti.

"Saya bersyukur menerima biasiswa ini dan berjanji akan membuat yang terbaik untuk membalas jasa semua pihak yang memberi sokongan, termasuk kerajaan negeri serta Yayasan Terengganu.

"Dengan adanya bantuan ini, saya boleh memfokus kepada pengajian tanpa memikirkan kos. Selain itu, ia juga dapat meringankan beban keluarga serta dijadikan pembakar semangat kepada tiga adik saya.

"Memang menjadi impian saya untuk belajar di luar negara. Alhamdulillah, usaha saya untuk mendapatkan biasiswa daripada Yayasan Terengganu membuahkan hasil. Terima kasih atas peluang diberikan ini," katanya yang juga anak sulung daripada empat beradik.

Ketiga-tiga penerima biasiswa itu diraikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, pada Majlis Penyerahan Bantuan Persediaan dan Pendahuluan Diri Penerima Biasiswa SPC Yayasan Terengganu Ke Luar Negara 2022, di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata, sebanyak RM1.78 juta diperuntukkan kepada penerima terbabit bagi mengikuti pengajian antara tiga hingga empat tahun di Jepun.

Beliau berkata, ia adalah penghantaran kali kedua anak Terengganu ke Jepun bawah SPC dan mereka adalah pelajar cemerlang SPM 2020.

"Mereka sudah mengikuti Program Persediaan Jepun di Kolej INTEC Shah Alam dan dijadualkan berangkat ke Jepun pada 18 Mei depan.

"Besar harapan kerajaan negeri dan Yayasan Terengganu khasnya untuk melihat mereka pulang membawa kejayaan sebaik saja tamat pengajian nanti," katanya.

Untuk rekod, selaras peruntukan diumumkan dalam Bajet Kewangan Negeri bermula 2019, kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu menubuhkan Tabung Biasiswa Pelajar Cemerlang Terengganu dengan peruntukan sebanyak RM5 juta setahun bagi membiayai pengajian anak-anak Terengganu yang cemerlang ke peringkat ijazah pertama.

Setakat ini, seramai 601 pelajar cemerlang lepasan SPM, asasi/matrikulasi, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), menerima skim biasiswa itu bagi mengikuti pengajian peringkat persediaan serta ijazah pertama dalam pelbagai bidang.

Daripada jumlah itu, seramai 516 orang mengikuti pengajian di universiti awam dalam negara, manakala selebihnya mengikuti pengajian di luar negara dalam bidang kritikal seperti perubatan, pergigian, kejuruteraan, sains, perakaunan dan al-Quran Wal Qiraat.

Ahmad Samsuri bersama Wan Nur Fazliyatul Adawiyah (depan, tengah), Wan Muhammad Amirul Sofian (depan, kiri) serta Muhammad Syarif (depan, kanan) pada Majlis Penyerahan Bantuan Persediaan dan Pendahuluan Diri Penerima Biasiswa SPC Yayasan Terengganu Ke Luar Negara 2022, di Wisma Darul Iman, hari ini. - NSTP/GHAZALI KORI
Ahmad Samsuri bersama Wan Nur Fazliyatul Adawiyah (depan, tengah), Wan Muhammad Amirul Sofian (depan, kiri) serta Muhammad Syarif (depan, kanan) pada Majlis Penyerahan Bantuan Persediaan dan Pendahuluan Diri Penerima Biasiswa SPC Yayasan Terengganu Ke Luar Negara 2022, di Wisma Darul Iman, hari ini. - NSTP/GHAZALI KORI
Berita Harian X