Selasa, 19 April 2022 | 3:09pm
Pengusaha penternakan ikan di Kampung Pantai Ali, yang terjejas berikutan sangkar mengalami kerosakkan akibat banjir yang berlaku akhir Februari lalu. - Foto NSTP/Nazdy Harun
Pengusaha penternakan ikan di Kampung Pantai Ali, yang terjejas berikutan sangkar mengalami kerosakkan akibat banjir yang berlaku akhir Februari lalu. - Foto NSTP/Nazdy Harun

Hanya baki ikan terselamat dapat dijual

KUALA BERANG: "Biasanya setiap kali Ramadan lebih 30 metrik tan ikan air tawar berjaya dipasarkan namun kesan akibat banjir dua bulan lalu kami hanya boleh menjual dua metrik tan saja untuk tahun ini," kata Zakaria Ismail, 65, dari Kampung Pantai Ali, di sini.

Zakaria yang juga ketua kelompok penternak ikan air tawar di kampung itu berkata, banjir yang melanda pada 27 Februari lalu menyebabkan bekalan ikan susut mendadak.

Katanya, terdapat 250 sangkar ikan jenis patin, baung, tilapia dan keli yang diusahakan 30 peserta di Sungai Telemong, namun banjir lalu menyebabkan mereka kerugian keseluruhan RM1.5 juta.

"Ramadan kali ini hanya baki ikan yang terselamat dapat dijual dan ia amat menjejaskan pendapatan penternak.

"Permintaan ikan air tawar pada bulan Ramadan amat tinggi dan biasanya lebih 30 metrik tan ikan dijual setiap tahun pada bulan ini," katanya ketika ditemui.

Menurutnya, 30 sangkar peserta mengalami kerosakan keseluruhan manakala selebihnya ada yang rosak serta boleh dibaiki, manakala tempat penetasan anak benih juga mengalami kerosakan dengan kerugian RM15,000.

Katanya, ketika banjir paras air sungai meningkat lapan meter dari tebing hingga menenggelamkan tempat pembenihan ikan sekali gus 500 induk dan 50,000 benih dihanyutkan banjir.

"Dianggarkan sejumlah RM500,000 diperlukan peserta bagi memulakan semula ternakan termasuk kos baik pulih sangkar, benih dan makanan ikan," katanya

Penternak, Mohd Jamaludin Abdullah, 47, berkata, setiap kali Ramadan, dia mampu meraih RM10,000 hasil jualan ikan yang diternak.

"Ramadan tahun ini tiada pendapatan kerana ikan yang diternak semuanya sudah mati dalam kejadian banjir lalu.

"Mungkin jika benih dimasukkan ke kolam dalam masa terdekat, penghujung tahun nanti kami boleh peroleh hasil," katanya.

Rakannya, Azmi Abdullah, 40, pula rugi RM50,000 apabila tujuh sangkarnya rosak dan ikan mati.

Katanya, ia ujian besar dihadapi terutama hasil ternakan tidak dapat didagangkan pada Ramadan seperti kebiasaannya.

Bagaimanapun katanya, mereka tidak putus asa sebaliknya menunggu masa sesuai untuk mula memulakan penternakan baharu.

Berita Harian X