Isnin, 18 April 2022 | 1:32pm
Tuanku Muhriz (duduk tiga, kiri) ketika bertitah merasmikan Persidangan Pertama Penggal Kelima DUN Negeri Sembilan, ke-14, hari ini. - Foto Bernama
Tuanku Muhriz (duduk tiga, kiri) ketika bertitah merasmikan Persidangan Pertama Penggal Kelima DUN Negeri Sembilan, ke-14, hari ini. - Foto Bernama

Perkasa pembangunan luar bandar, tingkat ekonomi rakyat

SEREMBAN: Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menggesa kerajaan negeri meningkat dan memperkasakan lagi program pembangunan luar bandar seiring Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Baginda bertitah, ia penting supaya manfaat infrastruktur ekonomi, keusahawanan, modal insan dan sistem penyampaian dapat dilaksanakan dengan berkesan bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar.

"Program pembangunan luar bandar perlu diperkasakan, justeru kerajaan perlu memberi tumpuan dalam penyediaan infrastruktur perkhidmatan telekomunikasi yang efisien ke seluruh negeri bagi pembentukan ekosistem digital yang lebih baik.

"Usaha ini kelak bakal mendorong transformasi sistem penyampaian kerajaan, membantu pertumbuhan ekonomi, dan meningkat keupayaan perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS)," titah baginda pada perasmian Istiadat Persidangan Pertama Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14, di sini, hari ini.

Tuanku Muhriz bertitah, kerajaan negeri juga perlu memberi perhatian terhadap isu tanah adat dengan memastikan pengurusannya ditambah baik dan kepentingan generasi masyarakat Adat Perpatih serta Adat Temenggung di Negeri Sembilan sentiasa dilindungi.

Titah baginda, usaha mengemaskini undang-undang bertulis berkaitan pemegangan tanah adat melalui penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Pemegangan Tanah Adat 2022 yang akan dibentangkan di DUN ini adalah wajar.

"Diharapkan penggubalan RUU itu, pembangunan yang menyeluruh akan dapat dilaksanakan terhadap tanah adat dan tanah lingkungan di negeri ini," titah baginda.

Tuanku Muhriz bertitah, peningkatan daya saing negeri ini sebagai destinasi pelaburan pilihan juga perlu difokuskan dengan menambah baik ekosistem dan persekitaran perniagaan.

Baginda bertitah, pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu memastikan kawasan perindustrian sentiasa diselenggara dan berada dalam keadaan kondusif bagi memenuhi keperluan operasi perusahaan.

"Persekitaran mesra digital dan penggunaan automasi serta teknologi tinggi boleh menjadi tarikan kepada pelabur untuk beralih daripada industri berintensifkan buruh kos rendah kepada industri berteknologi tinggi.

"Selain itu, ia boleh memberi peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan negeri ini, seterusnya berupaya mengurangkan penggunaan tenaga buruh asing," titah baginda.

Sementara itu, Tuanku Muhriz berpuas hati dengan usaha dilakukan kerajaan negeri dalam program dan insentif pelaburan dilaksanakan sehingga berjaya mencatatkan pelaburan RM5.8 bilion, melebihi sasaran RM5 bilion, tahun lalu.

Baginda mahu kerajaan negeri mengenal pasti sektor perlu diberi tumpuan supaya setiap perbelanjaan yang dikeluarkan mampu menjana impak optimum kepada ekonomi negeri, seterusnya memberi pulangan hasil kepada kerajaan.

"Inisiatif baharu dan aktiviti tambah nilai menerusi penggunaan automasi dan teknologi untuk memajukan sektor perladangan, komoditi, pekebun kecil, pertanian dan industri makanan perlu dipercepatkan pelaksanaannya.

"Sektor ini sangat berpotensi untuk penciptaan sumber kekayaan baharu, selain berupaya menjamin sekuriti dan nutrisi makanan negeri dan negara," titahnya.

Tuanku Muhriz juga turut mengingatkan rakyat beragama Islam tidak menjadikan rumah ibadat sebagai medan politik perpecahan kerana ia boleh merosakkan pengurusan dan pentadbiran Islam di negeri ini.

Baginda bertitah, mereka tidak seharusnya menunding jari dan saling menyalahkan antara satu sama lain, sebaliknya perlu mencari jalan penyatuan dan menghindari persengketaan.

Berita Harian X