Ahad, 17 April 2022 | 3:12pm
Mohamad Solhi (kiri) menyampaikan replika cek kepada salah seorang penerima sumbangan dalam Program IKHLAS Ramadan di Masjid al-Firdaus, Kampung Padang Besar Selatan, Kuala Perlis. - Foto NSTP/Aizat Sharif
Mohamad Solhi (kiri) menyampaikan replika cek kepada salah seorang penerima sumbangan dalam Program IKHLAS Ramadan di Masjid al-Firdaus, Kampung Padang Besar Selatan, Kuala Perlis. - Foto NSTP/Aizat Sharif

BERNAS peruntuk RM100,000 untuk Ikhlas Ramadan

KANGAR: Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) memperuntukkan hampir RM100,000 dalam usaha organisasi berkenaan menyantuni asnaf dan serta mengimarahkan program di masjid seluruh negara pada Ramadan ini.

Ketua Jabatan Operasi Kilang BERNAS, Mohamad Solhi Mohd Saleh, berkata program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) menerusi Ikhlas Ramadan yang dianjurkan pihaknya membawa ke Perlis sebagai lokasi pertama program CSR berkenaan.

"Melalui program Ikhlas Ramadan ini, kita turut memberi sumbangan dengan peruntukkan RM15,000 yang dibahagikan kepada 10 masjid di seluruh kariah negeri Perlis ini.

"Pada masa sama, kita tetap tidak melupakan asnaf yang kurang bernasib baik apabila seramai 80 asnaf termasuk 40 anak dalam kalangan petani sawah padi turut diraikan menerusi pemberian sumbangan kepada mereka ini.

"Selain itu juga, bagi menghargai jasa petani sawah padi yang banyak menyumbang bakti kepada pembangunan BERNAS di Perlis, seramai 150 petani sawah padi di sekitar kariah ini turut diraikan dalam majlis berbuka puasa ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas ditemui pada Progam IKHLAS Ramadan di Masjid al-Firdaus, Kampung Padang Besar Selatan di Kuala Perlis, di sini, semalam.

Pada majlis berkenaan, seramai 150 pesawah dari Komuniti Industri Tani BERNAS (KITA) turut memeriahkan majlis berbuka puasa yang dilaksanakan itu.

Katanya, program CSR ini sudah dianjurkan sejak tahun 2016 dan ia salah satu inisiatif BERNAS bagi berkongsi kegembiraan serta menceriakan golongan kurang berkemampuan seperti anak yatim, ibu tunggal serta golongan asnaf.

"Segala program yang dilaksanakan ini hasil zakat wakalah yang diterima oleh kita sebanyak RM50,000 sebagai tujuan melaksanakan program ini dan agihan kepada masjid serta golongan kurang bernasib baik di Perlis ini.

"Pada tahun ini, IKHLAS Ramadan memfokuskan kepada golongan petani sawah padi yang menjadi tulang belakang kepada kelangsungan industri padi dan beras negara.

"Penerima yang terdiri daripada keluarga pesawah padi menerima sumbangan berbentuk pembelian baju raya kepada anak mereka serta set barangan keperluan asas seperti beras, biskut raya dan lain-lain lagi," katanya.

Mohamad Solhi berkata, wang insentif yang diberikan kepada 10 masjid di sekitar pusat operasi kilang BERNAS di Perlis adalah bertujuan untuk pihak pengurusan masjid mengimarahkan lagi aktiviti masjid dalam meningkatkan syiar Islam dalam kalangan masyarakat.

"Program seumpama ini kami jalankan pada setiap tahun untuk mengukuhkan jalinan ukhuwah dan mewujudkan semangat kekeluargaan bersama masyarakat dan warga pesawah di seluruh kawasan operasi syarikat.

"Pada Ramadan tahun ini, BERNAS terus menggiatkan program amal dan jariah dengan pelbagai perancangan termasuklah agihan bubur lambuk, beras dan barangan keperluan harian kepada masyarakat asnaf yang memerlukan," katanya.

Beliau berkata, selepas Perlis, program IKHLAS Ramadan dijangka akan menjelajah ke Selangor serta kawasan Pantai Timur dalam menyantuni golongan petani sawah padi serta asnaf di kawasan berkenaan.

Terdahulu, Mohamad Solhi sudi menyampaikan sumbangan wang kepada 10 masjid selain 80 penduduk asnaf dalam kalangan kariah Masjid al-Firdaus, di sini.

Turut hadir dalam majlis berkenaan adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Empat, Nurulhisham Yaakob.

Berita Harian X