Sabtu, 16 April 2022 | 12:29pm
PENYELIA Pentadbiran Melaka Sentral Wan Mohd Firdaous Wan Ngah menunjukkan jadual penjualan tiket bas di Terminal Melaka Sentral. STR/NURALIAWATI SABRI.
PENYELIA Pentadbiran Melaka Sentral Wan Mohd Firdaous Wan Ngah menunjukkan jadual penjualan tiket bas di Terminal Melaka Sentral. STR/NURALIAWATI SABRI.

Tiket ke Pantai Timur laris

MELAKA: Jualan tiket bas ekspres dari terminal Melaka Sentral ke Pantai Timur, terutama Kelantan, sempena sambutan Aidilfitri pada Mei, sudah habis terjual.

Bagi perjalanan ke Terengganu dan Pahang pula, jualan tiket masih dibuka dan mendapat permintaan tinggi dalam kalangan anak rantau yang mahu pulang beraya di kampung halaman.

Penyelia Pentadbiran Melaka Sentral, Wan Mohd Firdaous Wan Ngah, berkata penjualan tiket ke Pantai Timur mula dibuka pada awal Ramadan dan apabila masuk minggu kedua puasa, tiket ke Kelantan untuk perjalanan pada 27 April hingga 2 Mei, sudah habis dijual.

Katanya, kebanyakan tiket dibeli penumpang menerusi sistem dalam talian berbanding hadir ke kaunter di Melaka Sentral.

"Untuk perjalanan ke Terengganu dan Pahang dari 28 April hingga 2 Mei, masih berbaki kira-kira 10 peratus sahaja.

"Sementara destinasi ke Utara seperti Alor Setar, Changlun, Kulim dan Jitra serta Perlis untuk perjalanan 29 dan 30 April juga habis terjual.

"Bagaimanapun, destinasi lain masih ada dan begitu laris," katanya.

Katanya, kesemua tiket yang terjual ini termasuk daripada tiket bas tambahan yang disediakan oleh syarikat bas terbabit.

"Untuk operasi bas ekspres pada musim perayaan ini kita jangkakan secara purata terdapat 145 perjalanan sehari berbanding hanya 120 sehari pada hari biasa.

"Penumpang untuk pulang beraya juga dianggarkan meningkat kepada 3,000 orang berbanding hanya 1,200 bagi hari biasa," katanya.

Mohd Firdaous berkata, untuk musim perayaan ini, tiket bas ekspres dijangka naik kira-kira 10 peratus berbanding harga hari biasa.

Berita Harian X