Khamis, 14 April 2022 | 8:01am
Warga emas, Rahmah Ismail bersyukur menerima bantuan rumah sumbangan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) di Kampung Ubai Baru. - Foto MOHD RAFI MAMAT
Warga emas, Rahmah Ismail bersyukur menerima bantuan rumah sumbangan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) di Kampung Ubai Baru. - Foto MOHD RAFI MAMAT

'Manisnya Ramadan tahun ini'

KUANTAN: Ramadan kali ini menjadi lebih bermakna buat warga emas, Rahmah Ismail, apabila mendapat rumah baharu sumbangan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) berharga RM60,000 di Kampung Ubai Baru, di sini.

Rahmah, 64, berkata, rezekinya seolah muncul bersama sinar Ramadan kali ini begitu bermakna untuknya dan keluarga selepas menunggu sekian lama untuk tinggal di rumah sendiri.

"Saya bersyukur dengan apa yang diterima, apa yang mampu diungkapkan ialah kemanisan Ramadan kali ini lebih bermakna dengan sumbangan rumah daripada MUIP.

"Saya terharu kerana penantian selama ini tertunai pada Ramadan kali ini. Saya akan tinggal bersama lapan cucu termasuk anak dan menantu kerana selama ini kami sekeluarga menumpang rumah adik," katanya, di sini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, pihaknya membelanjakan sebanyak RM3.1 juta untuk membaik pulih 187 unit rumah asnaf di negeri ini tahun lalu.

Katanya, turut dibelanjakan sebanyak RM859,000 bagi tujuan membina 16 unit rumah baharu, setiap rumah berharga RM60,000 seunit.

"Saya menjangkakan lebih banyak perbelanjaan akan dikeluarkan tahun ini bagi tujuan membina dan baik pulih rumah golongan asnaf.

"Bina baharu rumah menelan belanja RM60,000 seunit, bagi baik pulih kita menyediakan perbelanjaan RM15,000 bagi setiap rumah bergantung kepada kerosakan dialami dan bahan binaan yang digunakan," katanya.

Berita Harian X