Selasa, 12 April 2022 | 9:24am
GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

COVID-19: Sabah kembali catat kes dua angka selepas setahun

KOTA KINABALU: Sabah semalam merekodkan 65 kes jangkitan baharu COVID-19, pertama kali selepas kira-kira setahun mencatat kes harian pada julat tiga hingga empat angka.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, kali terakhir Sabah mencatat kes dua angka pada 18 Mei tahun lalu dengan 95 kes.

Katanya, penurunan 59 kes berbanding 124 kes dilaporkan kelmarin didorong catatan kes rendah di semua daerah, selain semakin banyak daerah mencatat sifar kes.

"Dua faktor utama menyumbang jangkitan harian rendah di Sabah iaitu penurunan kes baharu dalam jumlah besar di beberapa daerah serta kenaikan kecil di daerah yang merekodkan pertambahan kes baharu.

"Antara daerah merekodkan penurunan kes baharu agak besar ialah Kota Kinabalu dengan 17 kes, diikuti Penampang yang turun 12 kes dan masing-masing turun lapan kes di Putatan serta Beaufort.

"Walaupun ada sembilan daerah mencatatkan pertambahan kes baharu, namun enam daripadanya hanya merekodkan pertambahan satu kes berbanding semalam (kelmarin)," katanya dalam kenyataan media malam tadi.

Sabah juga tidak merekodkan kematian baharu akibat COVID-19 selama empat hari berturut-turut, manakala 421 pesakit dilaporkan sembuh semalam diikuti 246 pesakit masih dirawat dengan 20 daripadanya kritikal.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata hanya satu daerah iaitu Kota Kinabalu mencatat kes dua angka (16 kes) daripada 27 daerah di Sabah, manakala 16 lagi mencatat kes satu angka dengan 13 daripadanya hanya mencatat antara satu hingga empat kes, semalam.

Beliau berkata, sebanyak 10 daerah lagi tidak mencatat sebarang kes baharu iaitu di Beluran, Telupid, Ranau, Kinabatangan, Kota Marudu, Nabawan, Keningau, Beaufort, Tongod dan Putatan.

Bagaimanapun, Masidi mengingatkan, Sabah masih mencatat jangkitan secara sporadik yang tinggi iaitu 55.4 peratus daripada jumlah kes keseluruhan hari ini.

Daripada 65 kes semalam, katanya sebanyak 59 dikenal pasti dalam kategori satu dan dua, diikuti masing-masing dua kes dalam kategori tiga hingga lima.

Berita Harian X