Sabtu, 9 April 2022 | 6:43pm
KPDNHEP menjelaskan harga sayur murah di Pulau Pinang. - Foto hiasan NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
KPDNHEP menjelaskan harga sayur murah di Pulau Pinang. - Foto hiasan NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR

Sayur lebih murah ketika Ramadan

GEORGETOWN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menafikan harga beberapa sayur meningkat ketika Ramadan, seperti dakwaan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).

Sebaliknya, Pengarah KPDNHEP Pulau Pinang, Mohd Ridzuan Ab Ghafar, berkata harga lebih murah berbanding Februari dan Mac lalu.

Katanya, pemantauan dan pemeriksaan yang dijalankan penguat kuasa mendapati secara purata harga yang dijual di premis dan peruncit lebih rendah, malah berpatutan.

"Apa yang dilaporkan dalam kenyataan CAP itu tidak tepat. Ini mungkin CAP hanya menjurus kepada satu atau dua peruncit, sedangkan secara purata harga di premis dan peruncit lebih rendah dan berpatutan.

"Kami menjalankan pemantauan harga, bagi mendapatkan maklumat daripada pasar raya dan peniaga pasar awam mengenai harga dan bekalan tomato, daun sup dan daun ketumbar yang didakwa meningkat ketika bulan puasa ini, namun mendapati ada yang dijual lebih murah, berbanding bulan lalu," katanya hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader yang mahu KPDNHEP mengambil langkah segera menurunkan harga sayur-sayuran yang meningkat secara drastik, ketika Ramadan ini kerana ia membebankan pengguna.

Mohideen dalam kenyataan itu dilaporkan berkatadaun kari sebelum ini dijual RM5 meningkat kepada RM15 sekilogram, daun sup (RM7 kepada RM12 sekilogram), daun ketumbar (RM18 kepada RM22 sekilogram), tomato (RM5 kepada RM6 sekilogram) dan sardin cap ayam bagi saiz 450 gram pula RM8 kepada RM9.50 satu tin.

Mengulas lanjut, Mohd Ridzuan berkata, melalui pemeriksaan didapati pemborong, pasar raya dan peniaga pasar awam memaklumkan bekalan sayur diperoleh dari Cameron Highlands dan pekebun sekitar utara serta harga dan bekalan dipengaruhi oleh keadaan cuaca di kawasan terbabit.

Beliau berkata, bagi harga tomato untuk minggu pertama April ialah RM1.99 hingga RM6 sekilogram dan berkurangan, berbanding harga Februari RM3.95 hingga RM10 sekilogram, manakala Mac pula RM1.99 hingga RM8.80 sekilogram ekoran hujan berkurangan di Cameron Highlands.

Menurutnya, harga daun sup turut turun kepada RM7 hingga RM10 sekilogram kerana bekalan mula diperoleh peniaga, berbanding RM9 hingga RM15 sekilogram pada Februari, manakala pada Mac pula RM7 hingga RM10 sekilogram.

"Peniaga memaklumkan harga daun ketumbar mula meningkat dari Januari iaitu RM10 hingga RM15.70 sekilogram, berbanding harga semasa RM18 hingga RM30 sekilogram dan Februari RM20 hingga RM25 sekilogram, manakala Mac pula RM20 hingga RM30 sekilogram kerana bekalan berkurangan di pasaran," katanya.

Mohd Ridzuan berkata, harga sardin cap ayam pula mengikut jenama dan lokasi premis jualan dengan harga antara RM6.50 dan RM10.30 satu tin dan pengilang memaklumkan kos bahan mentah serta pembungkusan meningkat menyebabkan berlaku peningkatan harga.

"Kami akan terus memantau harga dan bekalan daripada pekebun serta pemborong sayur-sayuran bagi memastikan tidak berlaku pengambilan untung yang tidak munasabah oleh mana-mana peniaga di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

"Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat kepada KPDNHEP jika terdapat peniaga menaikkan harga secara berlebihan," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X