Selasa, 5 April 2022 | 8:58am
Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Pahang, Abdullah Jaafar (kiri) pada Program pelepasan udang galah dan ikan di Sungai Kuantan.- Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat
Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Pahang, Abdullah Jaafar (kiri) pada Program pelepasan udang galah dan ikan di Sungai Kuantan.- Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat

Lepas 13.5 juta benih ikan, udang

KUANTAN: Jabatan Perikanan Negeri Pahang melepaskan kira-kira 13.5 juta benih ikan dan udang galah di perairan umum negeri ini dalam tempoh 12 tahun sejak 2010.

Pengarahnya, Abdullah Jaafar berkata, program pelepasan pelbagai spesies ikan air tawar dan udang galah dilakukan sepanjang tahun membabitkan beberapa daerah yang sebelum ini, terkenal dengan sumber perikanan darat.

Beliau berkata, selain sungai utama seperti Sungai Pahang, Sungai Jelai, Sungai Bera dan Sungai Semantan pelepasan benih ikan turut dilakukan di beberapa tasik semula jadi.

Katanya, benih ikan yang dilepaskan ke perairan umum dan untuk pemberian secara percuma kepada penternak akuakultur banyak dikeluarkan Pusat Pengembangan Akuakultur (PPA) Bukit Tinggi, Bentong dan PPA Perlok, Jerantut.

"Tahun lalu, kira-kira 2.75 juta benih ikan air tawar pelbagai spesies untuk pelepasan umum dan pemberian percuma kepada penternak akuakultur di negeri ini disumbang oleh PPA Bukit Tinggi dan PPA Perlok.

"Tujuan program pelepasan benih ikan dan udang galah ke perairan umum dilakukan bagi meningkatkan pendapatan nelayan darat selain menjamin bekalan makanan selaras Dasar Sekuriti Makanan," katanya, dihubungi, di sini semalam.

Beliau berkata, di negeri ini terdapat seramai 380 nelayan darat sepenuh masa yang berdaftar, mereka menerima Elaun Sara Hidup Nelayan Darat sebanyak RM250 setiap bulan.

Abdullah berkata, perikanan darat di perairan umum terdedah kepada ancaman seperti aktiviti tidak mampan dan destruktif yang boleh mengakibatkan berlakunya pencemaran, penyakit dan kepupusan sumber perikanan yang membumbangkan.

"Justeru, jabatan mengingatkan orang awam supaya mengamalkan sikap bertanggungjawab dan tidak melepaskan spesies ikan asing (alien species) ke perairan umum di negeri ini.

"Spesies ikan asing kini menjadi ancaman kepada ekosistem kerana ia menjadi pemangsa serta menyebabkan merosakkan habitat hingga menyebabkan ikan asli menjadi pupus.

"Antara ikan asing yang terdapat di beberapa sungai utama di negeri ini ialah ikan baung ekor merah, pemantauan kini giat dilakukan bagi memastikan ikan berkenaan tidak mudah terlepas ke perairan umum," katanya.

Berita Harian X