X
Isnin, 4 April 2022 | 7:33pm

Akok empat perisa dapat sambutan

KOTA BHARU: Idea kreatif seorang penjual mempelbagaikan kuih akok kepada empat perisa melariskan jualannya sehingga 2,000 biji sehari, terutama ketika Ramadan.

Ahmad Shauki Othman, 36, berani membuat pembaharuan kerana bukan sahaja menghasilkan akok biasa dan pandan, tetapi juga perisa jagung dan coklat.

Dia yang juga graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia dari Universiti Malaysia Pahang (UMP), mengambil keputusan meninggalkan kerjayanya untuk menjadi pengusaha kuih akok dan bahulu.

"Saya meneruskan legasi ibu mentua, Samiah Hamid, 55, yang sebelum ini mengusahakan 'Akok Demit' dengan membuat akok empat perisa dan tidak disangka mendapat permintaan ramai, khususnya sebagai pemanis mulut ketika bulan puasa.

"Setiap hari dengan menggunakan bahan asas iaitu 500 telur dan 10 kilogram tepung gandum, saya dibantu isteri, Nur Ashikin Aziz serta ibu mentua membuat kuih akok sebelum dijual di tepi Jalan Padang Tembak, Pengkalan Chepa, di sini.

"Menjual akok menjadi rutin saya sepanjang Ramadan manakala, hari biasa lebih memfokuskan jualan bahulu yang ditempah pelanggan untuk dijadikan 'doorgift' majlis perkahwinan atau majlis formal," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gajah Mati, di sini, hari ini.

Dia yang juga bapa kepada tiga cahaya mata berusia satu sehingga enam tahun berkata, akoknya dijual RM3 lima biji bagi perisa biasa, manakala empat biji untuk perisa pandan, coklat dan jagung.

"Ketika Ramadan saya jual akok setiap hari bermula jam 3 petang. Rasa penat berniaga hilang apabila pelanggan memuji hasil tangan saya, selain berulang kali membelinya untuk dijadikan juadah berbuka.

"Ramai peniaga akok di Kelantan, namun bagi memastikan pelanggan kekal dengan hasil tangan kita, ia memerlukan pembaharuan yang boleh diterima ramai. Justeru, saya cuba dengan idea akok empat perisa dan Alhamdulillah mendapat sambutan," katanya.

Ahmad Shauki bersama ibu mentua menunjukkan akok empat perisa yang dihasilkannya ketika ditemui di Kampung Gajah Mati, Kota Bharu. FOTO Syaherah Mustafa
Ahmad Shauki bersama ibu mentua menunjukkan akok empat perisa yang dihasilkannya ketika ditemui di Kampung Gajah Mati, Kota Bharu. FOTO Syaherah Mustafa
Berita Harian X