Jumaat, 1 April 2022 | 8:54pm
Pesawat syarikat tambang murah Singapura, Scoot, tiba di LTAL jam 5.20 petang tadi membawa 75 penumpang. - FOTO NSTP / HAMZAH OSMAN
Pesawat syarikat tambang murah Singapura, Scoot, tiba di LTAL jam 5.20 petang tadi membawa 75 penumpang. - FOTO NSTP / HAMZAH OSMAN

Langkawi sambut penerbangan antarabangsa pertama

LANGKAWI: Pesawat syarikat tambang murah Singapura, Scoot menjadi penerbangan pertama mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) di sini, sempena pembukaan sempadan negara secara rasmi, hari ini.

Ketibaan pesawat TR476 jam 5.20 petang tadi disambut pancuran air dari kiri dan kanan yang disembur jentera Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat Lapangan Terbang (AFRS), manakala penumpang disambut paluan gendang.

Pesawat itu membawa 75 penumpang berlepas dari Lapangan Terbang Changi di Singapura jam 4.21 petang.

Turut hadir menyambut penerbangan itu Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Mohd Firdaus Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Nasaruddin Abdul Muttalib dan Pengarah Kanan Bahagian Promosi Antarabangsa Tourism Malaysia, P Manoharan.

Sementara itu, pelancong warga Singapura, Yoga Naidu, 46, berkata dia bersama tujuh ahli keluarga mengambil peluang bercuti di Langkawi selepas pintu sempadan Malaysia dibuka.

"Dua tahun kami tidak ke mana-mana kerana pandemik COVID-19, jadi hari ini rasa sangat teruja dapat melancong ke Langkawi untuk hilangkan tekanan.

"Kami merancang bercuti di pulau ini selama empat hari dan mahu membawa anak ke pantai untuk mandi serta melawat lokasi pelancongan popular," katanya ketika ditemui.

Pelancong dari Perth, Australia, Michael Fay, 72, pula teruja dapat menjejakkan kaki semula ke Langkawi yang pernah menjadi lokasi dia dan isteri, Mary Fay, 68, berbulan madu pada 1978.

"Kami merancang bercuti di Langkawi selama empat hari sebelum ke Kuala Lumpur untuk berjumpa rakan lama.

"Sambutan diberikan kepada pelancong hari ini memang luar biasa dan mengejutkan kami," katanya yang kelihatan ceria sebaik tiba di LTAL.

Sementara itu, Mohd Firdaus berkata, susulan pembukaan sempadan negara, seramai 2.5 juta pelancong disasarkan mengunjungi Langkawi pada tahun ini.

"Angka itu mengatasi sasaran awal dibuat sebelum ini iaitu sekitar 2.2 juta bagi ketibaan pelancong domestik dan antarabangsa," katanya.

Pada 8 Mac lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan sempadan negara dibuka semula pada 1 April selari dengan perancangan negara memasuki fasa peralihan ke endemik.

Berita Harian X