Rabu, 30 March 2022 | 12:23pm
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

Tanah rizab Melayu di Pahang 436,910.47 hektar

KUANTAN: Kerajaan Pahang sudah mewartakan 436,910.47 hektar tanah rizab Melayu (TRM) di negeri ini mengikut Enakmen Rizab Melayu (ERM) setakat 25 Februari lalu, kata Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata, TRM yang strategik dan berpotensi terutama dari sudut ekonomi akan dibangunkan mengikut kesesuaian dan keperluan khususnya untuk masyarakat Melayu setempat.

Katanya, antara pendekatan dilakukan termasuk melaksanakan pembangunan Skim Tanah Rakyat (STR) iaitu pembangunan berkonsepkan Rancangan Tanah Kelompok (RTK) sama ada dijadikan lot kediaman atau diusahakan dengan aktiviti pertanian dengan objektif meningkatkan lagi taraf sosioekonomi masyarakat Melayu.

"Melalui inisiatif ini juga, kerajaan negeri dapat memanfaatkan strategi serampang dua mata yang mana sesebuah kawasan TRM bukan saja dibangunkan, malah keluasan sedia ada turut dapat ditingkatkan.

"Sejumlah 7,814.37 hektar keluasan kawasan TRM sudah ditambah daripada jumlah keseluruhan kawasan TRM sedia ada menerusi pelaksanaan STR. Selain itu,TRM turut dibangunkan bagi projek perumahan untuk memudah cara pemilikan rumah dalam kalangan masyarakat Melayu," katanya menjawab soalan Datuk Mustapa Long (BN-Padang Tengku) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di sini, hari ini.

Mustapa dalam soalannya ingin tahu jumlah TRM terkini dan perancangan kerajaan negeri membangunkan kawasan berkenaan. – BERNAMA

Berita Harian X