Selasa, 29 March 2022 | 11:46am
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-14 Penggal Kelima, hari ini. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-14 Penggal Kelima, hari ini. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

100 dron perkasa aktiviti pertanian di Kelantan

KOTA BHARU: Sebanyak 100 unit dron digunakan bagi memperkasakan sektor pertanian di Kelantan selaras teknologi Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, berkata dron berkenaan digunakan untuk menyembur racun serangga dan membaja.

Katanya, dron yang ada dikendalikan oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) sebanyak 80 buah, selebihnya dua sedang diusahakan oleh Jabatan Pertanian Negeri Kelantan, manakala satu dron besar milik kumpulan pertanian dan selebihnya petani.

"Kesemua dron yang digunakan oleh jabatan pertanian, pemilik dron, syarikat dan agensi untuk pertanian di negeri ini adalah yang terbaik.

"Kerajaan juga menganjurkan kursus pengendalian dron kepada petani supaya mereka ini mempunyai lesen untuk mengendalikan sendiri dron.

"Kita berharap dapat memberikan lesen mengendalikan dron kepada petani," katanya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-14 Penggal Kelima, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan yang dikemukakan oleh Mohd Syahbuddin Hashim (BN- Galas).

Tuan Mohd Saripudin berkata, aplikasi dron sangat membantu petani yang mengusahakan projek pertanian yang berskala besar.

Menurutnya, penggunaan dron dapat membantu petani dalam menjalankan aktiviti pertanian seperti pembajaan dan meracun, sekali gus dapat mengurangkan penggunaan tenaga kerja, baja serta racun pada tanaman dan menjimatkan kos.

"Dalam usaha pendigitalan sektor pertanian, penternakan dan perikanan selaras perkembangan teknologi Revolusi Industri 4.0, terdapat beberapa kaedah yang diamalkan dalam sektor ini iaitu pendigitalan Internet of Thing (IOT) yang membolehkan penyambungan peranti kepada rangkaian internet yang mampu mengawal suhu atau kelembapan, pH (Potential of Hydrogen) media tanaman, proses pembajaan dan meracun hanya dikawal melalui telefon pintar.

Katanya, kaedah Pendigitalan Geospatial Pertanian mampu mengenal pasti bentuk muka bumi, ciri tanah dan kecerunan.

Berita Harian X