Rabu, 23 March 2022 | 6:16pm
Aminuddin (tengah) menyaksikan penyerahan cek sagu hati antara wakil Matrix Concepts (kiri) kepada Tok Batin Kampung Pelebar Labu, Seli Tiot di Seremban hari ini. - Foto Mohd Amin Jalil
Aminuddin (tengah) menyaksikan penyerahan cek sagu hati antara wakil Matrix Concepts (kiri) kepada Tok Batin Kampung Pelebar Labu, Seli Tiot di Seremban hari ini. - Foto Mohd Amin Jalil

Saf solat berjemaah ikut saiz sejadah besar - Aminuddin

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan menetapkan penjarakan fizikal bagi menunaikan solat berjemaah di semua surau dan masjid di negeri itu adalah mengikut saiz sejadah besar.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, prosedur operasi standard (SOP) itu mula berkuat kuasa 1 April ini, selaras dengan Fasa Peralihan Endemik di seluruh negara.

Selain semasa mendirikan solat dan wirid, beliau berkata, jemaah juga perlu sentiasa menjaga penjarakan fizikal satu meter seperti biasa.

"Jemaah digalakkan membawa dan menggunakan sejadah sendiri ketika mengerjakan solat di masjid dan surau dengan kehadiran ke masjid dan surau dibenarkan tanpa had usia kepada mereka yang sudah menerima vaksinasi COVID-19 termasuk kalangan bukan warga negara dan penduduk tetap.

"Jemaah diwajibkan untuk mengimbas QR code MySejahtera selain memakai pelitup muka dan perlu membawa sejadah sendiri.

"Mereka juga digalakkan untuk berwuduk terlebih dahulu di rumah masing-masing," katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan EXCO di Wisma Negeri di sini, hari ini.

Aminuddin berkata, aktiviti pengajian ilmu, termasuk qiamullail, tadarus, iktikaf serta program komuniti seperti penyampaian bantuan atau sumbangan, majlis berbuka puasa dan seumpamanya dibenarkan dengan menjaga penjarakan fizikal.

Katanya, takbir hari raya di masjid, surau dan takbir dari rumah ke rumah juga dibenarkan dengan tertakluk kepada SOP yang dikuatkuasakan.

"Aktiviti sosial seperti kenduri kahwin, majlis sambutan hari kebesaran Islam, program komuniti seperti gotong royong dan seumpamanya dibenarkan dengan menjaga penjarakan fizikal," katanya.

Umat Islam di negara ini dijangka menyambut Ramadan pada 3 April ini.

Berita Harian X