Isnin, 21 March 2022 | 12:23pm

Lebih 330,000 murid mula sekolah di Kedah

ALOR SETAR: Seramai 334,139 murid sekolah rendah dan menengah memulakan persekolahan di Kedah, hari ini.

Daripada jumlah itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Kedah, Rozaini Ahmad, berkata 199,358 ialah murid sekolah.

Katanya, 134,781 pelajar sekolah menengah akan memulakan sesi persekolahan secara bersemuka pada 4 April depan.

"Bilangan murid yang masuk ke Tahun Satu bagi sesi akademik 2022/2023 seramai 27,436 orang.

"Sekolah dengan murid 600 dan ke atas ialah 100 buah, manakala sekolah murid 600 dan ke bawah sebanyak 448 sekolah," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata sekolah rendah yang mempunyai enrolmen melebihi 600 pelajar, dikehendaki mengadakan pembelajaran bersemuka secara penggiliran bagi murid Tahun Tiga hingga Tahun Lima pada Penggal 1 Sesi Persekolahan 2022/2023.

Katanya, murid berkeperluan khas, penerima Rancangan Makanan Tambahan, prasekolah, Tahun Satu, Tahun Dua dan Tahun Enam pula perlu hadir ke sekolah tanpa penggiliran.

Bagi pelajar sekolah menengah, katanya, akan menjalani pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) selama dua minggu mulai hari ini.

Sebahagian murid Sekolah Kebangsaan Bandar Bukit Kayu Hitam disambut badut, Amirul Hidayat Zulkifle, 29, bersama guru-guru sekolah, hari ini. - Foto BERNAMA
Sebahagian murid Sekolah Kebangsaan Bandar Bukit Kayu Hitam disambut badut, Amirul Hidayat Zulkifle, 29, bersama guru-guru sekolah, hari ini. - Foto BERNAMA
Berita Harian X