Sabtu, 19 March 2022 | 11:01am
Tunku Puteri Intan Safinaz (kanan) menyertai acara Kayuhan Santai Hello Environment! di Dataran Chenang, Langkawi. - NSTP/HAMZAH OSMAN
Tunku Puteri Intan Safinaz (kanan) menyertai acara Kayuhan Santai Hello Environment! di Dataran Chenang, Langkawi. - NSTP/HAMZAH OSMAN

Tunku Temenggong Kedah ajak masyarakat pulihara alam sekitar

LANGKAWI: Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah menasihatkan masyarakat terus memulihara kelestarian alam.

Beliau berkata, pengiktirafan Langkawi UNESCO Global Geopark (LUGGp) atau geopark rujukan di rantau Asia Tenggara perlu dimanfaatkan sebaiknya supaya pulau legenda ini terus mencipta nama di persada antarabangsa.

"Tanggungjawab memelihara dan memulihara alam dan persekitaran semulajadi adalah tanggungjawab bersama dan ia perlu dilakukan secara berterusan dalam apa keadaan sekalipun. Untuk itu, usaha mempromosikan Langkawi sebagai destinasi eko pelancongan perlu diteruskan kerana ia diyakini mampu menarik pelancong," katanya.

Tunku Puteri Intan Safinaz berucap demikian ketika merasmikan acara Kayuhan Santai Hello Environment! di Dataran Chenang, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Firdaus Ahmad dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Wan Kamarul Faisal.

Sementara itu, Wan Kamarul berkata, program kayuhan santai sejauh 25 kilometer anjuran LADA dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan swasta itu disertai 150 orang yang berkayuh melalui kawasan perkampungan.

"Selain program hari ini, Program GeoCoral/Marine bagi konservasi terumbu karang di Kilim Karst Geoforest Park dan Kubang Badak Biogeotrail akan diadakan dua kali setahun," katanya.

Berita Harian X