Jumaat, 18 March 2022 | 10:10am
Taman Negeri Rompin.- Foto hiasan
Taman Negeri Rompin.- Foto hiasan

Pahang Hiking Day 2022 serentak di 13 lokasi di Pahang

KUANTAN: Kerajaan negeri melalui Tourism Pahang bersama Pejabat Daerah dan Tanah di Pahang akan menganjurkan acara `Pahang Hiking Day 2022', Ahad ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, berkata acara itu adalah pendakian santai yang bertujuan mempromosikan bukit yang tedapat di seluruh Pahang.

Katanya, selain itu ia juga menggalakkan rakyat Negeri Pahang mengamalkan gaya hidup sihat melalui aktiviti mendaki.

"Pada masa sama, ia selaras dengan tema baharu pelancongan Pahang iaitu This is Pahang – Unlimited', dan pemangkin untuk pelancong dari luar Pahang mencuba dan menerokai `hidden gems' di negeri ini.

"Struktur muka bumi dan alam sekitar yang pelbagai membuatkan Pahang memiliki pelbagai tarikan peranginan, terdapat sebanyak 79 bukit di seluruh negeri ini.

"Sejumlah 2,044 sungai meliputi keseluruhan negeri yang boleh diterokai oleh pelancong di Pahang," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mohd Sharkar berkata, selain itu sebanyak 26 Taman Eko-Rimba dan dua Hutan Taman Negeri (Taman Negeri Rompin dan Taman Negeri Cameron Highlands) yang menyediakan pelbagai aktiviti rekreasi bagi seisi keluarga dan juga peminat aktiviti luar.

Katanya, berdasarkan statistik data kehadiran pelancong ke Pahang pada tahun lalu, Pahang menerima kunjungan kira-kira 2.21 juta pelancong walaupun negara dilanda pandemik COVID-19.

Beliau berkata, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Bukit Buloh @ 'The Red Forest', Jerantut bagi menyertai acara itu.

Acara itu akan diadakan serentak di seluruh Pahang dan lokasi berkenaan ialah di Taman Eko-Rimba Parit Fall, Cameron Highlands; Bukit Peninjau, Lipis; Gunung Tahan, Lipis; Bukit Buluh (The Red Forest), Jerantut; Bukit Kolam, Raub.

Selain itu, di Bukit DO, Bentong; Bukit Woh, Temerloh; Bukit Kertau, Maran; Bukit Senorang, Bera; Bukit Pelindung, Kuantan; Bukit Tanjung Batu, Nenasi, Pekan;Bukit Ridan, Muadzam Shah, Rompin dan Gunung Nenek Semukut, Kampung Mukut di Pulau Tioman.

Berita Harian X