Khamis, 10 March 2022 | 9:20am
Foto hiasan
Foto hiasan

Sabah catat 18 kematian akibat COVID-19 semalam

KOTA KINABALU: Sabah merekodkan sebanyak 18 kematian akibat COVID-19 semalam, meningkat 13 kes berbanding hanya lima kematian yang dilaporkan kelmarin.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata daripada 18 kes kematian semalam, jumlah tertinggi direkodkan di daerah Kota Belud dengan enam kes.

Katanya, tiga kematian lagi dilaporkan di Kota Kinabalu, manakala dua kematian di Lahad Datu serta masing-masing satu kes kematian di Sandakan, Tambunan, Kota Marudu, Kinabatangan, Keningau, Tuaran dan Beluran.

"Bilangan kematian ini bagaimanapun tidak semestinya berlaku dalam tempoh 24 jam lalu kerana ada kes kematian yang mengambil masa untuk verifikasi dan dilaporkan kemudian berbanding tarikh sebenar," katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Sementara itu, Sabah turut mencatat peningkatan 136 kes baharu COVID-19 kepada 1,325 kes semalam berbanding 1,216 kes kelmarin.

Bagaimanapun, sebanyak 1,340 kes atau 99.12 peratus daripada 1,352 kes baharu semalam berada dalam Kategori 1 dan 2, diikuti tiga kes dalam Kategori 3, tujuh kes dalam Kategori 4 dan dua kes lagi dalam Kategori 5.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata seramai 2,532 kes pesakit pula dilaporkan sembuh semalam, manakala 1,251 pesakit sedang menerima rawatan, termasuk 53 orang memerlukan penjagaan kritikal.

Katanya, kes sporadik masih mendominasi jangkitan baharu COVID-19 di Sabah, mewakili sebanyak 60.65 peratus daripada jumlah kes semalam dengan 22 daripada 27 daerah mencatat kes sporadik yang tinggi.

Berita Harian X