Isnin, 7 March 2022 | 10:29am

Kelantan bina loji mini

KOTA BHARU: Kerajaan negeri memperuntuk RM49 juta untuk membina lapan loji mini serta membaik pulih sistem rawatan air, bagi menyelesaikan masalah air di Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Kelantan, Datuk Azami Mohd Nor, berkata kos keseluruhan pembangunan lapan loji mini, termasuk membaik pulih sistem proses rawatan air itu dibiayai menerusi pinjaman kerajaan negeri kepada Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).

Katanya, antara loji berkenaan ialah di Teluk Mesira, Ketereh, Jelawat, Wakaf Bharu, Kadok, Meranti, Kedai Buloh, dan Telong serta membaik pulih sistem proses rawatan air di Loji Rawatan Air (LRA) di Ketereh dan LRA Perol.

"Pembangunan loji mini lebih murah dan sekiranya membabitkan kawasan yang sempit, ini memudahkaan AKSB untuk mengenal pasti paip yang pecah dan isu lain.

"Saya juga berharap dengan pembangunan loji mini ini akan dapat menambah jumlah akaun pengguna, iaitu antara 300,000 hingga 350,000 berbanding 260,000 akaun sekarang," katanya malam tadi.

Selain itu, Azami berkata, projek semasa di bawah peruntukan Kementerian Alam Sekitar Air membabitkan pembinaan LRA Kampung Telok yang menelan belanja RM48.3 juta dengan kapasiti pengeluaran air terawat sebanyak 30 juta liter sehari dijadualkan beroperasi tahun ini.

"Kerajaan negeri juga sedang berusaha untuk mendapatkan geran membangunkan Takungan Air Pinggiran Sungai di Labok, Machang sebagai sumber air mentah untuk loji di utara lembangan Sungai Kelantan," katanya.

Kelantan akan membina takungan air pinggiran sungai di Machang sebagai sumber air mentah. - Foto hiasan NSTP/ADNAN IBRAHIM
Kelantan akan membina takungan air pinggiran sungai di Machang sebagai sumber air mentah. - Foto hiasan NSTP/ADNAN IBRAHIM
Berita Harian X