Selasa, 1 March 2022 | 9:39pm
Zarina (tengah) ketika majlis pertukaran MoU semasa pembukaan rasmi Minggu Johor di Expo 2020 Dubai.
Zarina (tengah) ketika majlis pertukaran MoU semasa pembukaan rasmi Minggu Johor di Expo 2020 Dubai.

3 kerjasama strategik RM100 juta di Minggu Johor, Dubai

KUALA LUMPUR: Tiga kerjasama strategik lebih RM100 juta diumumkan ketika pembukaan Minggu Johor di Ekspo 2020 Dubai bermula semalam, termasuk dua membabitkan Iskandar Investment Berhad (IIB).

IIB selaku pemain utama dalam transformasi di wilayah Iskandar Malaysia, menjalin kerjasama dengan DHL bagi Zon Dron dan Robotik (DRZ) Iskandar untuk mempromosikan inisiatif pemangkin wilayah itu dalam industri 4.0.

Turut dimeterai kerjasama IIM dan Perbadanan Ekononmi Digital Malaysia (MDEC) melalui pelancaran MDEC Global Testbed Incentives (GTI) dengan kerjasama IIB Ventures Sdn Bhd, yang juga anak syarikat milik penuh IIB sebagai Rakan Pelancaran Utama dan Rakan Ekosistem di Johor.

Kerjasama ketiga pula membabitkan pertukaran dokumen memorandum persefahaman (MoU) antara Meraque Services Sdn Bhd selaku syarikat milik penuh Bumiputera yang menumpukan perkhidmatan teknologi penyelesaian dron bersama Al Nabooda Chulia Facilities bagi memperkembangkan kehadiran mereka di Afrika Selatan.

Ketua Eksekutif Invest Johor, Zarina Abdul Kadir berkata, Johor adalah destinasi pelaburan ideal dengan potensi pertumbuhan dan pembangunan pesat serta ekosistem ekonomi mampan yang memberi manfaat kepada pelabur yang ingin bertapak dan mengembangkan perniagaan di negara ini.

"Johor terletak di satu kedudukan amat strategik iaitu di tengah rantau ASEAN serta laluan perkapalan antarabangsa utama paling sibuk di dunia, selain akses mudah melalui udara dalam masa enam jam penerbangan dari bandar utama ASEAN melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dan tiga pelabuhan antarabangsa dan pelbagai lebuh raya.

"Sebagai contoh, Iskandar Puteri adalah sebuah pembangunan bersepadu terbesar di Asia Tenggara dengan keluasan 24,000 ekar.

"Pembangunan pemangkin ini sejajar sektor dan industri dikenal pasti di bawah Wawasan Johor 2030. Johor juga mempunyai ekosistem maju, dengan kerjasama awam-swasta matang dan insentif fiskal menarik bagi pelabur," katanya ketika pembukaan Minggu Johor di Expo 2020 Dubai, semalam.

Persembahan tarian Zapin sempena pembukaan rasmi Minggu Johor di Pavilion Malaysia di Expo 2020 Dubai.
Persembahan tarian Zapin sempena pembukaan rasmi Minggu Johor di Pavilion Malaysia di Expo 2020 Dubai.

Beliau berkata, Johor berjaya mengekalkan daya tahan sosio-ekonominya melalui pengukuhan keseluruhan ekosistem bakat, selain meningkatkan aktiviti ekonomi untuk mempercepatkan pemulihan sosio-ekonomi negeri.

"Kehadiran kami di Ekspo Dunia ini tepat pada masanya dan bukti komitmen kami untuk menarik potensi nilai perdagangan dan pelaburan sebanyak RM500 juta untuk Johor.

"Dengan bilangan penduduk 3.61 juta orang, Johor sedia menawarkan tenaga kerja pelbagai bidang, yang turut mencerminkan komitmen kerajaan negeri melahirkan tenaga mahir melalui kerjasama awam-swasta yang inovatif iaitu inisiatif Iskandar NEXT (Ekonomi Baharu, Pengalaman dan Bakat).

"Kerjasama kerajaan negeri dengan IIB ini menyokong agenda ekonomi digital negeri dan dijangka mewujudkan pekerjaan, menarik pelaburan dan membangunkan komuniti berpengalaman untuk negeri Johor dan juga negara," katanya.

Minggu Johor satu daripada 26 program perdagangan dan perniagaan mingguan dianjurkan Pavilion Malaysia.

Bertemakan The Southern Jewel of Malaysia'atau 'Permata Selatan Malaysia', ia akan memperlihatkan kesungguhan Johor membuka pintu pelaburan kepada pasaran dunia, selain menawarkan insentif mesra pelabur selaras dasar kerajaan Malaysia yang mantap dan mesra perniagaan.

Berita Harian X