Sabtu, 26 Februari 2022 | 4:44pm
Suasana banjir di Kampung Cabang Tiga, Rantau Panjang, hari ini. - FOTO NSTP/ SYAHERAH MUSTAFA
Suasana banjir di Kampung Cabang Tiga, Rantau Panjang, hari ini. - FOTO NSTP/ SYAHERAH MUSTAFA

Banjir Kelantan makin buruk, 2,044 mangsa dipindahkan

KOTA BHARU: Banjir Kelantan makin buruk apabila jumlah mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) bertambah kepada 2,044 orang pada jam 4 petang ini, berbanding 881 orang 8 pagi tadi.

Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mereka membabitkan 662 lelaki dewasa, 685 wanita dewasa, 323 kanak-kanak lelaki, 333 kanak-kanak perempuan dan 41 bayi.

Semua mangsa daripada 622 keluarga itu ditempatkan di 30 PPS di empat daerah iaitu Kuala Krai, Tanah Merah, Jeli dan Pasir Mas.

Mangsa di Pasir Mas bertambah mendadak selepas beberapa kampung berdekatan Sungai Golok dinaiki air menyebabkan 904 penduduk berpindah ke tujuh PPS.

Di Jeli pula, seramai 422 orang dipindahkan di lima PPS, diikuti Kuala Krai dengan 409 orang di sembilan PPS dan Tanah Merah membabitkan 307 mangsa di sembilan PPS.

Portal eBanjir Kelantan pula memaklumkan, tiga jalan ditutup di Tanah Merah iaitu Jalan Panglima Bayu- Rantau Panjang, Jalan ke Loji Membersih Air Bukit Remah yang ditutup kepada semua kenderaan dan Jalan Tanah Merah-Kusial-Kampung Ipoh yang ditutup kepada kenderaan ringan.

Menurut laman web, https://publicinfobanjir.water.gov.my, enam sungai utama di Kelantan melebihi paras bahaya iaitu Sungai Lebir di Kampung Tualang, Kuala Krai dengan bacaan 35.45 meter (m), Sungai Kelantan di Kuala Krai (25.11 m), Sungai Lanas di Air Lanas Jeli (29.75 m), Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah (26.11 m), Sungai Kelantan di Kampung Temangan, Machang (22.03 m) dan Sungai Golok di Rantau Panjang (10.41 m).

Selain itu, satu sungai melebihi paras amaran iaitu Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah dengan bacaan 15.96 m.

Tiga sungai pula melebihi paras waspada iaitu Sungai Lebir di Kampung Karangan, Kuala Krai (31.60 m), Sungai Nal di Kuala Krai (23.87 m) dan Sungai Pergau di Jeli (71.41 m).

Berita Harian X