Sabtu, 26 Februari 2022 | 2:20pm
Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya, buruk dan waspada di 11 daerah Pahang. Foto hiasan
Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya, buruk dan waspada di 11 daerah Pahang. Foto hiasan

APM, JBPM siap sedia kemungkinan banjir

KUANTAN: Semua Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) di Pahang diarah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan banjir berikutan hujan lebat berterusan di negeri ini.

Pengarah APM Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman, berkata ketika ini, pemantauan dilakukan untuk memastikan operasi menyelamat dilakukan jika ada kawasan dilanda banjir.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini, tiada kejadian banjir dilaporkan.

"Kita akan memantau perkembangan semasa di semua daerah dan bersiap sedia jika berlaku banjir," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Zahar Abdullah, berkata jabatan itu sentiasa bersiap sedia dari aspek keanggotaan dan peralatan serta aset berkaitan bagi menghadapi kemungkinan banjir kilat di semua daerah.

Mohd Zahar berkata, semua ketua balai diarah membuat pemantauan kenaikan paras air di semua sungai berdasarkan maklumat Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

"Persiapan dibuat bagi menghadapi kemungkinan banjir kilat berikutan hujan lebat di semua 11 daerah di Pahang," katanya.

MetMalaysia menerusi satu kenyataan hari ini mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya, buruk dan waspada di 11 daerah di Pahang.

Amaran hujan berterusan tahap bahaya membabitkan tiga daerah iaitu Jerantut, Kuantan dan Pekan, amaran hujan berterusan tahap buruk di Cameron Highlands, Lipis, Raub, Temerloh, Maran dan Rompin, manakala amaran hujan berterusan tahap waspada pula membabitkan Bentong dan Bera.

Berita Harian X