Sabtu, 26 Februari 2022 | 10:08am
Foto ihsan Facebook rasmi Datuk Seri Aminuddin Harun
Foto ihsan Facebook rasmi Datuk Seri Aminuddin Harun

Negeri Sembilan peruntuk RM4 juta baiki binaan warisan

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan memperuntukkan RM4 juta bagi membaiki bangunan dan rumah warisan di negeri ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata inisiatif Projek Bangunan dan Rumah Warisan Negeri diperkenalkan tahun lalu bertujuan membaiki binaan bangunan serta rumah yang mempunyai nilai sejarah tinggi di negeri ini.

"Sebanyak RM3 juta telah diperuntukkan, tahun lalu, dan RM1 juta lagi pada tahun ini bagi merealisasikan projek berkenaan.

"Setakat ini, tiga rumah serta dua masjid dibaik pulih, iaitu Masjid Warisan Kampung Terusan di Kuala Pilah; Masjid Warisan Kampung Kuala Serdang, Kuala Pilah; Rumah Warisan Puan Norami, Rembau; Rumah Warisan Puan Norlida, Kuala Pilah; dan Rumah Warisan Puan Jalilah, Jelebu," katanya dalam kenyataan menerusi Facebook rasmi beliau, di sini.

Beliau berkata, projek itu turut membabitkan pakar daripada Politeknik Port Dickson bagi memastikan keaslian binaan.

Katanya, pihak kontraktor yang terbabit proses pembaikan juga menggunakan kaedah sama sebagaimana digunakan tukang pada zaman dahulu, bagi memastikan keaslian bangunan berkenaan. – BERNAMA

Berita Harian X