Khamis, 24 Februari 2022 | 1:25pm
Ahmad Nazlan menunjukkan induk spesies ikan air tawar di Pusat Pengembangan Akuakultur Perlok, Jerantut. Foto NSTP/ Roselan Ab Malek
Ahmad Nazlan menunjukkan induk spesies ikan air tawar di Pusat Pengembangan Akuakultur Perlok, Jerantut. Foto NSTP/ Roselan Ab Malek

PPA Perlok hasilkan 1.4 juta benih ikan air tawar

JERANTUT: Pusat Pengembangan Akuakultur (PPA) Perlok di sini, berjaya menghasilkan 1.4 juta benih pelbagai spesies ikan air tawar, sepanjang tahun lalu.

Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris, berkata kejayaan itu membuktikan pusat berkenaan menjadi nadi kepada industri ikan air tawar di Pahang khususnya daerah ini yang mempunyai ramai penternak ikan sangkar.

Beliau berkata, tahun lalu PPA Perlok berjaya menghasilkan benih 11 spesies ikan air tawar iaitu lampam, baung, patin, kelah, talapia, kerai, keli, temoleh, sebarau, terbol dan puyu, malah dalam tempoh 10 tahun pusat berkenaan berjaya mengeluarkan 20.4 juta benih ikan air tawar pelbagai spesies.

Katanya, semua spesies ikan air tawar itu dilepaskan ke beberapa sungai di Pahang sebagai usaha memastikan spesies berkenaan tidak pupus di habitat asal selain memberi punca pendapatan kepada nelayan sungai.

Ahmad Nazlan berkata, pada masa sama PPA Perlok giat menghasilkan benih ikan patin buah dalam usaha menambah taburan spesies berkenaan yang sebelum ini banyak terdapat di Sungai Pahang dan Sungai Jelai serta beberapa sungai utama lain di negeri ini.

 Ahmad Nazlan ( tengah) melihat pembiakan benih ikan air tawar di Pusat Pengembangan Akuakultur Perlok, Jerantut. Foto NSTP/ Roselan Ab Malek
Ahmad Nazlan ( tengah) melihat pembiakan benih ikan air tawar di Pusat Pengembangan Akuakultur Perlok, Jerantut. Foto NSTP/ Roselan Ab Malek

"Kekurangan induk berkualiti selain faktor semula jadi menjadi antara sebab benih ikan patin buah yang terkenal di negeri ini tidak banyak dapat dihasilkan setiap tahun berbanding spesies lain.

"PPA Perlok sentiasa berusaha menambah jumlah induk ikan patin buah dengan membeli daripada nelayan sungai, namun kini usaha pihak terbabit menangkap ikan berkenaan semakin sukar," katanya selepas melawat proses pembenihan ikan kelah dan Ikan air tawar lain di PPA Perlok di sini, hari ini.

Permintaan ikan patin buah keluaran negeri ini sentiasa tinggi, walaupun harganya agak mahal iaitu antara RM100 hingga RM150 sekilogram.

Justeru, katanya pihak PPS Perlok akan membeli induk ikan patin buah hidup daripada nelayan sungai yang dapat menangkap spesies ikan air tawar itu dengan harga pasaran semasa.

"Kita bimbang ikan patin buah akan pupus di sungai di negeri ini suatu hari nanti sekiranya usaha menambah jumlah spesies itu tidak dilakukan.

secara serius dan berterusan," katanya.

Beliau berkata, tumpuan utama pengeluaran benih ikan di sini ialah untuk aktiviti pelepasan ke perairan umum di negeri ini dan selebihnya untuk diagihkan kepada jabatan perikanan negeri dan pasaran tempatan.

Berita Harian X