Rabu, 23 Februari 2022 | 7:23pm

Rintihan penternak ikan dalam sangkar di Laguna Kuala Semerak

PASIR PUTEH: Kira-kira 40 penternak ikan dalam sangkar di Laguna Kuala Semerak merayu kerajaan negeri mempercepatkan proses membuka semula Kuala Semerak bagi menangani masalah air di kawasan itu.

Kawasan laguna ini yang terkenal dengan aktiviti penternakan ikan sangkar siakap putih, merah dan kerapu hibrid berdepan risiko mati hingga kerugian jutaan ringgit setahun akibat pencemaran air.

Penternak, Mohd Fazri Jaafar, 40, berkata air daripada laguna tidak dapat turun ke laut manakala air laut pula tidak dapat memasuki kuala menyebabkan air di kawasan ternakan terperangkap dan tercemar.

Katanya, pencemaran air itu menyebabkan ikan kekurangan oksigen, berbau dan mati.

"Jika dahulu usia ikan enam bulan sudah boleh dijual, sekarang ambil masa setahun hingga setahun dua bulan baru capai berat, kualiti yang diterima di pasaran.

"Kalau nasib tidak baik, ikan bukan sahaja lambat capai kualiti, tetapi juga berisiko mati," katanya ketika ditemui di kawasan ternakan laguna berkenaan, di sini, hari ini.

Katanya, antara cara mengatasi masalah air tercemar adalah membuka semula Kuala Semerak Lama yang lama tertimbus bagi membolehkan pengaliran air.

"Setakat ini saya sudah rugi lebih RM200,000, pelihara ikan pula memerlukan kos tinggi.

"Kami memang ada terima bantuan lain, tetapi cara paling berkesan selamatkan ternakan ikan kami adalah dengan membuka semula kuala yang tertimbus," katanya.

Seorang lagi penternak, Ong Yeoung Tiang, 32, berkata dia pernah berdepan ikan ternakan mati 300 ekor sehari selama dua bulan akibat pencemaran air di situ.

Katanya, keadaan itu menyebabkan dia kerugian lebih RM2 juta membabitkan ikan sangkar di 50 petak sangkar.

"Kami hadapi masalah ini sejak bertahun-tahun, harap dapat perhatian kerajaan negeri atau Pusat," katanya.

Bagi Setiausaha Penternak Ikan Sangkar Lagun Kuala Semerak, Budin Awang Teh, berkata kematian ikan akibat pencemaran air menjadi masalah kepada penternak sejak lebih 20 tahun.

Katanya, sejak itu, penternak mengalami kerugian lebih RM10 juta membabitkan 2,100 petak sangkar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim, berkata pihaknya maklum berhubung masalah itu dan mahu kerajaan negeri mempercepatkan proses menggali semula Kuala Semerak Lama yang tertimbus.

Katanya, bagi penyelesaian jangka pendek, sepanjang 0.4 hektar tanah akan diambil dan dibelah bagi membolehkan aliran air keluar masuk di kawasan laguna itu.

"Tujuannya untuk mengubah kandungan PH air bagi membolehkan air yang sesuai untuk ikan ternakan," katanya.

Penternak ikan dalam sangkar, Mohd Fazri Jaafar (tengah) bersama rakan menunjukkan ikan ternakan yang mati di kawasan ikan sangkar Laguna Kuala Semerak, Pasir Puteh. STR/ Nor Amalina Alias
Penternak ikan dalam sangkar, Mohd Fazri Jaafar (tengah) bersama rakan menunjukkan ikan ternakan yang mati di kawasan ikan sangkar Laguna Kuala Semerak, Pasir Puteh. STR/ Nor Amalina Alias
Berita Harian X