Isnin, 21 Februari 2022 | 2:47pm
Nasaruddin (duduk dua dari kiri) mengetuai Program Penanaman Pokok Bakau sempena Sambutan Hari Tanah Lembab Sedunia 2022 di Jeti Kubang Badak, Langkawi. - FOTO NSTP/HAMZAH OSMAN
Nasaruddin (duduk dua dari kiri) mengetuai Program Penanaman Pokok Bakau sempena Sambutan Hari Tanah Lembab Sedunia 2022 di Jeti Kubang Badak, Langkawi. - FOTO NSTP/HAMZAH OSMAN

LADA sasar tanam 10,000 bakau di pesisir pantai Langkawi

LANGKAWI: Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) menyasarkan penanaman 10,000 pokok bakau minyak di pesisir pantai pulau ini menjelang hujung tahun ini, sebagai inisiatif melestarikan alam sekitar.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nasaruddin Abdul Muttalib berkata, program itu sebahagian usaha menyokong Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021-2025 anjuran Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.

"Bagi merealisasikan sasaran itu, kita merancang menganjurkan program penanaman 210 pokok bakau minyak seminggu dengan tumpuan di kawasan Kubang Badak BioGeotrail (KBG) dan Kilim Geoforest Park.

"Kita juga menggalakkan pelancong yang tiba di pulau ini menyertai program 'One Tourist One Tree' (Satu Pelancong Satu Pokok) ," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Penanaman Pokok Bakau sempena Hari Tanah Lembab Sedunia 2022 di Jeti Kubang Badak di sini, hari ini.

Pada majlis itu, beliau mengetuai 180 sukarelawan terdiri pegawai kerajaan, swasta dan ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menanam 150 pokok bakau minyak sekitar KBG.

Nasaruddin berkata, pulau legenda itu mempunyai kira-kira 3.4 peratus atau 3,125 hektar kawasan tanah lembab yang sesuai untuk habitat bakau.

Sementara itu, sukarelawan, Asma Saad, 46, berkata pengalaman kali pertama menyertai program menanam pokok bakau menarik kerana menyumbang kepada kelestarian alam.

"Disebabkan teruja saya menanam lebih daripada satu pokok bakau dan harap ia dapat tumbuh subur bagi membantu mengurangkan kadar hakisan tebing di kawasan ini," katanya.

Berita Harian X