Isnin, 21 Februari 2022 | 1:39pm
Pensyarah Kanan Program Pemakanan dan Dietetik, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr Wan Nudri Wan Daud
Pensyarah Kanan Program Pemakanan dan Dietetik, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr Wan Nudri Wan Daud

Awasi kolestrol dalam badan elak risiko penyakit

KOTA BHARU: Pengambilan makanan tinggi kolesterol yang banyak boleh meningkatkan kolesterol dalam darah, sekali gus akan menyebabkan pelbagai masalah kesihatan terutama penyakit jantung dan angin ahmar.

Pensyarah Kanan Program Pemakanan dan Dietetik, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr Wan Nudri Wan Daud, berkata berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) pada 2019, mendapati masalah kolesterol darah tinggi dalam kalangan orang dewasa di Malaysia ialah 38.1 peratus bersamaan 38 orang bagi setiap 100 orang.

Katanya, kolestrol dalam tubuh manusia terdiri daripada dua sumber, iaitu sumber makanan (lebih kurang 20 hingga 30 peratus daripada jumlah kolesterol) dan melalui sumber dihasilkan sendiri dalam tubuh oleh organ hati (lebih kurang 70 hingga 80 peratus).

"Badan tidak memerlukan kolesterol daripada sumber makanan kerana organ hati boleh menghasilkan kolesterol sendiri menggunakan bahan daripada lemak, protein dan karbohidrat.

"Bagaimanapun, kolesterol juga memainkan peranan besar dalam pembentukan sel tubuh yang sihat bagi membina membran sel atau tisu tubuh, membina vitamin D, membentuk hormon testosteron dan estrogen serta asid hempedu yang membantu proses pencernaan dan penyerapan lemak dalam tubuh," katanya dalam kenyataan, di sini.

Dr Wan Nudri berkata, kolestrol banyak terdapat dalam makanan berasaskan haiwan terutama daging berlemak, kulit ayam, organ dalaman dan makanan segera.

"Sekiranya ia berada pada paras tinggi dan tidak terkawal boleh menyebabkan pelbagai jenis masalah kesihatan, terutama penyakit jantung dan angin ahmar.

"Justeru, orang ramai dinasihatkan agar mengehadkan makanan tinggi lemak tepu dan lemak trans dengan mengubah cara pemakanan serta diet untuk mencegah daripada menghidap kolesterol darah tinggi," katanya.

Beliau berkata, terdapat dua pengangkut kolesterol utama dalam tubuh manusia, iaitu Low Density Lipoprotein (LDL) dikenali kolesterol jahat serta berperanan mengangkut kolesterol dari hati ke dalam salur darah dan sel.

Manakala High-Density Lipoprotein (HDL) pula adalah kolesterol baik yang mengangkut kolesterol dari salur darah dan sel ke organ hati serta disingkir keluar daripada badan.

Katanya, selain menjaga pemakanan terdapat beberapa panduan lain untuk mengawal kolesterol dalam darah, iaitu menurunkan berat badan, mengamalkan gaya hidup sihat dengan bersenam, berhenti merokok, mengawal gula dan tekanan.

"Pada masa sama, tingkatkan pengambilan serat dan vitamin antioksidan dengan mengamalkan pengambilan sayur, buah-buahan dan juga kekacang dengan lebih banyak kerana pengambilan lemak, protein dan karbohidrat yang berlebihan, boleh ditukar kepada kolesterol.

"Setiap individu dinasihatkan membuat ujian profil lipid atau ujian kolesterol darah secara berkala, iaitu sekali setiap empat hingga enam bulan," katanya.

Beliau berkata, masalah kolesterol darah tinggi menunjukkan trend peningkatan.

"Secara kesimpulannya, aras kolesterol darah boleh dicegah atau dikawal dan ia penting sebelum pelbagai penyakit kronik muncul atau menjadi parah," katanya.

Berita Harian X