Rabu, 16 Februari 2022 | 4:28pm
 Gajah yang ditemui mati di tepi jalan Kampung Pinang, semalam. - Foto ihsan pembaca
Gajah yang ditemui mati di tepi jalan Kampung Pinang, semalam. - Foto ihsan pembaca

Gajah mati disyaki termakan baja atau racun

PADANG TERAP: Kematian gajah betina yang ditemui di tepi Jalan Empangan Pedu, berdekatan Kampung Pinang di Padang Terap, semalam, dipercayai akibat termakan baja atau racun tumbuhan.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kedah, Jamalul Nasir Ibrahim, berkata sampel gajah berusia 20 tahun itu sudah diambil pegawai forensik untuk dibawa ke makmal di Kuala Lumpur bagi siasatan lanjut.

"Punca sebenar kematian mamalia itu akan mengambil sedikit masa. Setakat ini kita mengesyaki ia mati akibat termakan baja atau racun tumbuhan yang terdapat di kawasan itu.

"Ini kerana pernah berlaku tahun lalu seekor anak gajah mati akibat termakan baja tumbuhan di kawasan itu," katanya kepada BH, hari ini.

Jamalul Nasir berkata, gajah dianggar seberat dua tan itu sudah ditanam di lokasi berdekatan menggunakan jentolak kira-kira jam 8.30 malam tadi.

Beliau berkata, pihaknya turut menasihatkan petani yang mengusahakan tanaman sekitar kawasan itu supaya menyimpan baja atau racun tumbuhan di tempat selamat daripada haiwan.

"Hutan Pedu adalah kawasan habitat gajah dan haiwan itu pasti berkeliaran di kawasan berdekatan. Justeru petani yang mengusahakan tanaman perlu menyimpan baja dan racun di dalam stor.

"Saya difahamkan ada petani menyimpan racun atau baja hanya di bawah pokok saja, ia memberi risiko kepada gajah yang berkeliaran di kawasan itu termakan bahan input pertanian berkenaan," katanya.

Berita Harian X