Selasa, 15 Februari 2022 | 12:55pm
Gajah yang ditemukan mati di tepi jalan di Kampung Pinang, pagi tadi. NSTP/Ihsan Pembaca
Gajah yang ditemukan mati di tepi jalan di Kampung Pinang, pagi tadi. NSTP/Ihsan Pembaca

Gajah betina ditemukan mati di tepi jalan

PADANG TERAP: Seekor gajah betina ditemukan mati di tepi Jalan Empangan Pedu, berdekatan Kampung Pinang, Pedu, di sini, pagi tadi.

Penduduk kampung, Shazwan Ismail, 25, berkata haiwan liar berkenaan ditemui seorang jirannya yang keluar menoreh getah kira-kira jam 7.30 pagi.

"Apabila tiba di tepi jalan, saya lihat gajah itu sudah mati dalam keadaan terduduk dan terdapat kesan darah bersama najisnya, berkemungkinan gajah itu termakan racun atau baja tanaman kebun.

"Penduduk kampung sudah lebih sebulan melihat sekumpulan tujuh ekor gajah berkeliaran di kawasan kebun getah, ada kemungkinan gajah betina ini seekor kawanan haiwan liar berkenaan," katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kedah, Jamalun Nasir Ibrahim, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 8.30 pagi.

Katanya, pihaknya masih menyiasat kejadian itu dan perlu menunggu laporan berkaitan bagi mengetahui punca kematian gajah berkenaan.

"Pasukan forensik dari Ibu Pejabat Jabatan Perhilitan Kuala Lumpur akan ke lokasi untuk menyiasat punca kematian gajah ini.

"Saya perlu tunggu laporan mereka terlebih dahulu," katanya ketika dihubungi.

Berita Harian X