Selasa, 15 Februari 2022 | 8:35am
Pemberian Kad Warga Asing seolah-olah memberi pengiktirafan terhadap kehadiran golongan berkenaan termasuk pendatang tanpa izin (Foto hiasan). Foto BERNAMA
Pemberian Kad Warga Asing seolah-olah memberi pengiktirafan terhadap kehadiran golongan berkenaan termasuk pendatang tanpa izin (Foto hiasan). Foto BERNAMA

Cadangan beri Kad Warga Asing tidak wajar

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) menyifatkan cadangan pemberian Kad Warga Asing kepada warg asing di Sabah seolah-olah memberi pengiktirafan terhadap kehadiran golongan berkenaan termasuk pendatang tanpa izin (PATI).

Sehubungan itu, parti berkenaan menolak cadangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mewujudkan dokumen terbabit sebagai pengenalan diri golongan PATI di negeri ini.

Timbalan Presidennya, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, pendirian itu antara usul diluluskan pada Persidangan Tri Tahunan PBRS yang disempurnakan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Sabtu lalu dan akan diserahkan kepada kerajaan.

"Bagi seseorang warga asing, adalah mencukupi dengan passport atau pas kerja sebagai dokumen pengenalan diri. Kami akan sentiasa mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negeri Sabah.

"PBRS bersama dengan suara rakyat Sabah akan terus menggesa kerajaan untuk bertindak tegas dalam menyelesaikan isu PATI yang sudah sekian lama membelenggu negeri ini," katanya di sini.

Arthur yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, PBRS turut menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Akta Anti-Lompat Parti dan cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal seperti dicadangkan dalam langkah pembaharuan kerajaan sebelum ini.

Beliau berkata, akta itu akan menjadikan politik negara lebih matang dan berintegriti, manakala mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri akan memberikan tekanan yang lebih kepada Perdana Menteri untuk melaksanakan dasar negara dan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan yang lebih berkesan kepada rakyat.

"PBRS menggesa akta ini dibentang dan diluluskan di Parlimen sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) untuk meningkatkan integriti demokrasi negara.

"Perwakilan PBRS turut bersetuju supaya amalan itu juga dikuatkasakan di Sabah dengan mengehadkan tempoh perkhidmatan Ketua Menteri kepada dua penggal sahaja," katanya.

Sementara itu, Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan, berkata PBRS akan terus memperjuangkan usaha meningkatkan peluang pekerjaan dan pemerkasaan ekonomi khususnya untuk golongan belia.

Sejajar perkara itu, katanya PBRS akan terus memperjuangkan isu pendidikan, keusahawanan, ekonomi belia serta bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) untuk mewujudkan peluang pekerjaan serta ekonomi kepada penduduk tempatan khususnya golongan belia.

Satu lagi usul diluluskan pada persidangan itu, katanya ialah jaminan PBRS akan terus setia sebagai parti gabungan BN yang disifatkan sebagai pilihan terbaik untuk mengembalikan kestabilan dan kemakmuran negara.

"Kestabilan politik amat penting dan lebih diperlukan pada masa negara sedang berhadapan dengan ancaman kesihatan dan cabaran ekonomi yang tidak menentu.

"Oleh itu, PBRS akan terus bekerja demi memperjuangkan pembangunan dan kemajuan Sabah. Masih ramai rakyat Sabah mahu bersama BN dan PBRS adalah pilihan terbaik dan mewakili suara masyarakat khususnya Kadazandusun, Murut dan Rungus," katanya.

Berita Harian X