X
Sabtu, 12 Februari 2022 | 3:25pm

Ikhtiar tampung kos isi gas tabung oksigen setiap hari

KOTA BHARU: Setiap hari, seorang penjual kuih berusaha mengumpulkan hasil pendapatan bagi menampung kos pengisian semula gas dalam tiga tabung oksigen untuk kegunaan suami yang mengalami pelbagai komplikasi akibat penyakit paru-paru berair.

Meskipun getir, Nor Hazliza Ismail, 57, dari Lundang, di sini, terus cekal berikhtiar menyediakan kira-kira RM50 sehari demi memenuhi keperluan suami, Mohd Razi Abdullah, 55, yang terpaksa bergantung pada alat bantuan pernafasan itu sepanjang masa.

Nor Hazliza berkata, beliau yang hanya memperoleh pendapatan kira-kira RM20 hingga RM25 sehari hasil jualan kuih, turut dibantu dua anak yang bekerja sebagai pembantu kedai makan dan penghantar barang.

"Pernah juga berlaku keadaan mencemaskan di mana ketiga-tiga tabung oksigen sudah kosong tetapi kami masih tidak cukup wang untuk mengisi semula gas itu.

"Akibatnya, suami terpaksa bertahan sehingga termengah-mengah sebelum akhirnya wang dapat dicukupkan untuk mengisi semula gas tabung oksigen itu.

"Buat masa ini, saya dan anak-anak lebih mengutamakan keperluan suami. Ketika mampu bekerja dulu, suami telah berkorban untuk kami, justeru kini tiba giliran kami untuk menjaganya," katanya ketika ditemui, di sini.

Nor Hazliza memaklumkan, Mohd Razi mengalami masalah paru-paru sejak tiga tahun lalu, selain turut menghidap penyakit kencing manis dan komplikasi jantung.

Sebelum ini, katanya, beliau bersama suami berniaga nasi bungkus secara kecil-kecilan dengan menyewa tapak di Pengkalan Chepa, namun terpaksa berhenti akibat pandemik COVID-19 dan keadaan kesihatan Mohd Razi semakin tidak mengizinkan.

"Kami pernah memohon bantuan mesin membuat kuih atau kios jualan untuk berniaga di hadapan rumah kerana suami berada dalam senarai e-Kasih, namun masih belum ada maklum balas," katanya.

Terdahulu, mereka dikunjungi badan bukan kerajaan (NGO), Cempaka Merah Asnaf Society yang diwakili Pengerusinya, Che Norhayati Mohamed yang turut menghulurkan sumbangan wang zakat.

Che Norhayati juga memaklumkan sudah menyediakan katil khas yang diwakafkan, untuk kegunaan Mohd Razi dan ia akan dihantar dalam masa terdekat.

Sementara itu, Mohd Razi berkata, keadaan kesihatannya kian merosot dengan kedua-dua belah kaki membengkak, selain perut agak membuncit dan sesekali terasa sakit jika disentuh.

Beliau berkata, berat badan juga bertambah secara mendadak menyebabkannya tidak mampu berjalan dengan baik dan hanya mengengsot.

Sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan, boleh menghubungi Mohd Razi melalui talian 019-4365549.

Nor Hazliza menunjukkan tabung oksigen yang digunakan Mohd Razi. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Nor Hazliza menunjukkan tabung oksigen yang digunakan Mohd Razi. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Berita Harian X