Khamis, 10 Februari 2022 | 7:44pm
Ahmad Zakiyuddin (dua dari kiri) selepas membentangkan Laporan Prestasi ZPP 2021 di Seberang Jaya, Butterworth, hari ini. Foto Ihsan ZPP
Ahmad Zakiyuddin (dua dari kiri) selepas membentangkan Laporan Prestasi ZPP 2021 di Seberang Jaya, Butterworth, hari ini. Foto Ihsan ZPP

ZPP sasar kutipan zakat RM161.5 juta

Butterworth: Zakat Pulau Pinang (ZPP) optimis mampu mencapai sasaran kutipan zakat RM161.5 juta bagi tahun ini susulan prestasi jumlah pembayar zakat yang memberangsangkan pada tahun lalu.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, berkata walaupun berdepan dengan situasi pandemik COVID-19, namun masih ramai mempunyai kesedaran membayar zakat.

Katanya, ia boleh dilihat apabila prestasi kutipan zakat pada tahun lalu mencatatkan jumlah RM147.2 juta berbanding RM130.8 juta pada 2020.

"Oleh itu, kita optimis dapat mencapai sasaran yang ditetapkan tahun ini berdasarkan prestasi tahun lalu," katanya ketika membentangkan Laporan Prestasi ZPP 2021 di Seberang Jaya di sini, hari ini.

Ahmad Zakiyuddin berkata, peningkatan kutipan zakat disokong dengan penambahan jumlah pembayar zakat harta yang meningkat sebanyak 3,506 orang.

"Faktor peningkatan yang dikenal pasti ialah aktiviti dakwah zakat secara agresif dan kempen secara digital yang digerakkan.

"Selain itu, kempen media sosial dan kewujudan portal zakatpenang2u.com turut memberi impak, terutama dalam inisiatif pembayaran zakat tanpa tunai," katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Zakiyuddin berkata, ZPP mengagihkan RM141.55 juta zakat pada tahun lalu berbanding pada 2020 yang merekodkan sebanyak RM126.58 juta.

Katanya, berlaku penurunan dalam jumlah penerima zakat pada tahun lalu, iaitu sebanyak 3.07 peratus atau 40,711 individu berbanding 41,690 penerima pada 2020.

Berita Harian X