Selasa, 8 Februari 2022 | 9:54pm
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun

Kes harian COVID-19 di Sabah lepasi paras 2,000

KOTA KINABALU: Jumlah kes harian COVID-19 di Sabah, hari ini, melepasi paras 2,000 kes.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata 2,069 kes yang dicatatkan hari ini adalah lebih tinggi berbanding semalam, 1,600 kes.

Katanya, tujuh daerah mencatatkan tiga angka iaitu Kota Kinabalu dengan 395 kes, Sandakan (267), Tuaran (192), Papar (161), Penampang (161), Lahad Datu (137) dan Tawau, 113 kes.

"Daerah yang mencatatkan dua angka kekal pada 15 daerah iaitu Ranau, Sipitang, Kota Belud, Telupid, Kuala Penyu, Beaufort, Kota Marudu, Beluran, Kudat, Semporna, Kinabatangan, Kunak, Keningau, Putatan dan Tambunan.

"Hanya empat daerah mencatatkan satu angka iaitu Nabawan, Tenom, Pitas dan Kalabakan manakala daerah Tongod tidak merekodkan sebarang jangkitan baharu.

"Jumlah kes jangkitan sporadik terus bertambah hari ini kepada 1,075 atau 51.96 peratus daripada jumlah kes keseluruhan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, dua kes kematian dilaporkan hari ini, masing-masing satu kes di Beaufort dan Keningau.

"Bilangan pesakit COVID-19 sembuh pula ialah 408 orang, menjadikan jumlah kumulatif 241,857 orang.

"Sementara 1,659 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 764 orang di hospital, 872 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam dan 22 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS)," katanya.

Berita Harian X