Selasa, 8 Februari 2022 | 1:25pm
 Nora (kiri) menunjukkan aplikasi Prihatin PERKESO yang boleh digunakan untuk mengetahui lebih lanjut tentang program SIP EMP+, di Kota Bharu. - FOTO NSTP/SYAHERAH MUSTAFA
Nora (kiri) menunjukkan aplikasi Prihatin PERKESO yang boleh digunakan untuk mengetahui lebih lanjut tentang program SIP EMP+, di Kota Bharu. - FOTO NSTP/SYAHERAH MUSTAFA

Penganggur, graduan baharu ditawar elaun EMP RM300 sebulan, EPB RM400

KOTA BHARU: Penganggur atau graduan baharu berpeluang menerima Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) sebanyak RM300 sebulan dan Elaun Persediaan Bekerja (EPB) sebanyak RM400 melalui Program Sistem Insuran Pekerjaan Elaun Mencari Pekerjaan+ (SIP EMP+).

Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Kelantan, Nora Yaacob berkata, permohonan bantuan SIP EMP+ dibuka kepada golongan bukan pencarum bermula 1 Januari sehingga 31 Disember 2022.

Katanya, golongan yang layak memohon bantuan itu adalah individu yang belum berdaftar atau tidak aktif mencarum dengan PERKESO selepas 1 Jun 2021 serta berumur 18 tahun dan tidak melebihi 60 tahun pada tarikh permohonan.

"Permohonan yang diluluskan layak menerima EMP berjumlah RM300 sebulan untuk tempoh tiga bulan sahaja dan bayaran EPB diberikan sekiranya pemohon berjaya mendapatkan pekerjaan dalam tempoh empat bulan daripada tarik permohonan dikemukakan.

"Sebagai contoh, sekiranya calon mendapat pekerjaan baharu semasa menerima EMP yang pertama, kedua atau ketiga, maka bayaran tambahan EPB sebanyak RM400 dibayar terus pada bulan yang sama.

"Dokumen yang diperlukan ketika membuat permohonan SIP EMP+ ialah salinan kad pengenalan, penyata akaun bank, bukti hadir tiga kali temu duga dalam tempoh EMP serta pengemaskinian aktiviti temu duga di Portal MyfutureJobs," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pejabat PERKESO Kelantan, di sini, hari ini.

Nora berkata program SIP EMP+ sejajar dengan Bajet 2022 oleh Kementerian Kewangan yang membuktikan penambahbaikan kepada SIP PRIHATIN 2.0 yang berakhir pada Disember 2021.

"Untuk program ini, pembayaran dilakukan dalam tempoh 14 sehingga 30 hari selepas tuntutan diluluskan dan dikreditkan terus ke dalam akaun pemohon secara Electronic Fund Transfer (EFT).

"Individu yang layak boleh membuat permohonan dengan memuat turun aplikasi Prihatin PERKESO atau mengemukakan permohonan melalui laman sesawang https://matrix.perkeso.gov.my," katanya.

Dalam perkembangan lain, Nora turut berkongsi mengenai sasaran PERKESO Kelantan untuk menyediakan 5,500 peluang pekerjaan, terutama untuk rakyat negeri itu.

Berita Harian X