Sabtu, 5 Februari 2022 | 11:28pm
Saarani (kiri) melihat lukisan pada Majlis Perasmian Pameran Perakman Art Trail dan Pameran Solo Salleh Ismail, hari ini. Foto Bernama
Saarani (kiri) melihat lukisan pada Majlis Perasmian Pameran Perakman Art Trail dan Pameran Solo Salleh Ismail, hari ini. Foto Bernama

Karya seni Perakman, pameran solo Salleh Ismail khazanah berharga

IPOH: Kerajaan Perak akan mempertimbang cadangan menempatkan karya seni bertemakan Perakman dan Pameran Solo Salleh Ismail di sebuah galeri khas.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata lukisan yang menterjemah kawasan di Lenggong dan Perak serta penceritaan perjalanan hampir sedekad Salleh itu boleh dijadikan khazanah berharga.

"Kita ada galeri di belakang Dewan Bandaraya Ipoh, sebelum ini, kita ada kolaborasi dengan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) yang membangunkan semula Ipoh Padang dan Perpustakaan Tun Razak.

"Saya akan minta EXCO Pelancongan berbincang dengan lebih lanjut supaya karya ini disimpan sebagai khazanah negeri untuk ditonton dan dinilai generasi akan datang," katanya selepas merasmikan Pameran Seni Visual Perakman Art Trail dan Pameran Solo Salleh Ismail di Pusat Konvensyen Casuarina Meru yang berlangsung selama lima hari bermula hari ini.

Turut hadir, Presiden Persatuan Pelukis Perak, Datuk Dr Ahmad Lothfi Ibrahim, Salleh dan pelukis yang terbabit dalam pameran itu.

Saarani berkata, terjemahan lokasi bersejarah itu mampu menarik lebih ramai pengunjung ke Perak dan memberi ruang kepada orang ramai menilai dan menganalisis karya seni.

"Perakman seperti diketahui adalah khazanah penting negara dan diiktiraf dunia. Seharusnya usaha menjadikan ia sebagai inspirasi dalam pengkaryaan wajar disokong malah dipergiat.

"Keistimewaan Perakman yang meletakkan Lembah Lenggong dalam peta arkeologi dunia perlu kita syukuri dengan melipatgandakan usaha menarik lebih ramai pelancong ke sana," katanya.

Pameran itu rentetan beberapa siri ekspedisi ahli Persatuan Pelukis Perak dan beberapa persatuan lain seperti Persatuan Seni Rupa Malaysia, Perak Art Society serta Kartunis Malaysia yang menghasilkan 30 karya.

Semua pelukis merasai sendiri suasana sebenar Perakman dengan menyusuri dan meredah kampung, hutan dan rimba serta bukit-bukau seperti dalam ekspedisi pertama ke Tasik Raban dan sekitar Gua Tok Giring.

Ekspedisi kedua di Royal Belum, Gerik pula menyaksikan peserta menginap di rumah bot untuk merasai suasana dan keindahan di Tasik Banding, perkampungan Orang Asli serta menjejak bunga Pakma atau Rafflesia di Sungai Gadung.

Peserta juga dibawa menyusuri Sungai Perak berhampiran Kampung Sayong di Kuala Kangsar dengan menaiki Balai Gambang dalam ekspedisi ketiga membabitkan eksplorasi karya di Bandar Diraja itu. – BERNAMA

Berita Harian X