Jumaat, 4 Februari 2022 | 11:53am

Kerajaan Perak perlu wartakan semula Hutan Simpan Kenderong

GEORGETOWN: Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa Kerajaan Perak mewartakan semula Hutan Simpan Kenderong (HSK) Mukim Kerunai sebagai Hutan Simpanan Kekal dengan pengelasan sebagai hutan tadahan air.

Pada masa ini, status HSK hanya sebagai hutan simpan dan sebuah syarikat perlombongan tempatan, baru-baru ini pula memohon menjalankan projek pembalakan dan perlombongan bijih timah dalam kawasan hutan simpan seluas 245 hektar itu.

Presiden SAM, Meenakshi Raman, berkata pihaknya kecewa kerana hutan semula jadi yang memberi perkhidmatan ekologi penting, bakal menjadi mangsa projek perlombongan sehingga memusnahkan alam sekeliling.

Katanya, berdasarkan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi cadangan projek itu, tapak berkenaan adalah kawasan berbukit dengan ketinggian 320 hingga 450 meter melebihi paras laut.

"Jelas dinyatakan dalam laporan itu ia adalah kawasan tadahan air dan terdapat beberapa anak sungai mengalir berdekatan projek terus ke dalam Sungai Perak.

"Sungai Perak membekalkan 45 peratus air, sekali gus menjadi sumber air utama negeri itu dan sebarang ancaman terhadap sumber air tempatan semata-mata bagi keuntungan adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab serta tidak boleh dibiarkan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Meenakshi berkata, SAM juga menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS) tidak meluluskan laporan EIA bagi cadangan projek itu.

Beliau berkata, pembersihan hutan seperti dinyatakan dalam laporan EIA itu akan membawa bencana, malah kegiatan perlombongan berpotensi bagi mencemarkan sumber air tempatan, sekali gus mengundang musibah.

Selain itu, katanya, tapak dicadangkan adalah Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) Tahap 1 iaitu sebarang pemajuan, pertanian atau pembalakan tidak dibenarkan kecuali aktiviti ekopelancongan, penyelidikan dan pendidikan.

"Tapak itu terletak dalam kawasan wilayah Rangkaian Utama-8, Rangkaian Ekologi Central Forest Spine (CFS) yang menempatkan habitat spesies hidupan liar terancam serta hampir pupus seperti gajah, harimau, tapir dan beruang matahari.

"Rangkaian Utama dalam kawasan CFS adalah koridor semula jadi yang amat penting bagi mamalia bersaiz besar, membolehkan mereka bergerak dari suatu kompleks hutan utama ke habitat lain untuk mencari makanan.

"Cadangan projek perlombongan di situ akan memburukkan lagi konflik antara manusia dengan hidupan liar yang semakin menjadi-jadi di Malaysia," katanya.

Meenakshi berkata, kejadian pada 2019 membuktikan kegiatan perlombongan dalam kawasan sensitif alam sekitar akan mengundang bencana.

Beliau berkata, terdapat beberapa loji rawatan air di sepanjang Sungai Perak dan loji Air Ganda paling hampir dengan tapak projek cadangan itu terpaksa ditutup pada tahun berkenaan, selepas penduduk tempatan yang kebanyakannya Orang Asli mengalami penyakit kulit serius.

Katanya, siasatan pihak berkuasa mengesan arsenik dalam anak sungai berhampiran, akibat aktiviti syarikat perlombongan berlesen di lokasi sama dengan tapak projek dicadangkan.

"Tidak kira apa jenis pelan mitigasi dan pemulihan disyorkan penggerak projek, menjalankan pembalakan serta perlombongan dalam kawasan sensitif akan memudaratkan kualiti alam sekeliling sehingga ke tahap yang mana sebarang pelan mitigasi atau pemulihan akan menjadi tidak berguna.

"Jadi, SAM membantah cadangan projek di Hutan Simpan Kenderong kerana sebarang cadangan projek yang tidak mampan, akan memusnahkan alam sekitar, menjejaskan sumber air, kehidupan dan mata pencarian masyarakat," katanya.

Berita Harian X