Khamis, 3 Februari 2022 | 11:15am
Pelancong bersiap sedia menaiki bot untuk ke Taman Negara Kuala Tahan, sempena cuti Tahun Baharu Cina. - NSTP/ROSELAN AB MALEK
Pelancong bersiap sedia menaiki bot untuk ke Taman Negara Kuala Tahan, sempena cuti Tahun Baharu Cina. - NSTP/ROSELAN AB MALEK

Lebih 4,000 pelancong lawat Taman Negara Pahang sempena Tahun Baharu Cina

JERANTUT: Lebih 4,000 pelancong membanjiri Taman Negara, Kuala Tahan, di sini, sempena cuti Tahun Baharu Cina, sekali gus memberi nafas baharu kepada sektor ekopelancongan negara.

Cuti panjang membolehkan orang ramai menikmati keindahan Taman Negara yang berusia 130 juta tahun itu dan meninjau kampung tradisional Kuala Sat, Hulu Tembeling.

Pengurus Pelanggan, Mutiara Taman Negara Resort (MTNR), Sabri Abdullah, berkata sejak cuti bermula Sabtu lalu, ramai pengunjung menginap di MTNR dan beberapa pusat penginapan swasta serta chalet milik penduduk Kuala Tahan.

Beliau berkata, kehadiran pengunjung domestik menandakan pusat peranginan hutan tropika tertua itu termasuk perkampungan Melayu pesisir Sungai Tembeling, Hulu Tembeling, mula dikunjungi ramai selepas negara memasuki tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 pandemik COVID-19 dan berakhirnya musim tengkujuh bulan lalu.

"Kerancakan semula sektor ekopelancongan di Taman Negara memberi kelegaan kepada pengusaha pusat penginapan, pemandu bot penambang, pemandu pelancong alam sekitar, pengusaha restoran terapung dan penggiat pelancongan lain yang terjejas teruk sebelum ini," katanya.

Sabri berkata, purata kedatangan pengunjung domestik termasuk pelawat asing sebanyak 60 peratus iaitu kira-kira 160 orang sehari menginap di chalet MTNR dan meningkat 100 peratus sempena cuti Tahun Baharu Cina sehingga hujung minggu ini.

Beliau berkata, kebanyakan pengunjung yang menginap di resort itu menyertai pakej penuh selama lima hari untuk menghabiskan percutian, menyertai aktiviti rekreasi dan riadah di hutan tropika, menyusuri Sungai Tembeling dan Sungai Tahan, Lata Berkoh dan perkampungan Orang Asli etnik Bateq di sini.

Sementara itu, Pengurus Tebing Guest House, Mohd Abdul Rani Harun, berkata kerancakan sektor pelancongan di Kuala Tahan bermula seminggu awal cuti perayaan Tahun Baharu Cina apabila ramai pengunjung sudah membuat tempahan bilik penginapan.

"Sebanyak 60 tempahan dibuat awal seminggu sebelum cuti perayaan Tahun Baharu Cina dan mulai 1 Februari pula sudah mencapai 100 peratus dengan semua bilik Tebing Guest House habis ditempah untuk penginapan sehingga Sabtu ini," katanya.

Mohd Abdul Rani yang juga Timbalan Pengerusi Pengusaha Pelancongan Taman Negara berkata, senario kemasukan ramai pengunjung domestik berikutan cuaca baik selepas musim tengkujuh penghujung Disember 2021 dan awal Januari lalu, selain cuti Tahun Baharu Cina yang panjang serta cuti persekolahan.

"Kebanyakan pengunjung sudah lama mahu datang ke sini, tetapi disebabkan sekatan pergerakan akibat pandemik dan banjir, ia tidak dapat dilakukan sehingga keadaan semakin baik sekarang," katanya.

Penggiat ekopelancongan Kampung Kuala Sat, Alias Hashim berkata, keadaan cuaca yang baik dan cuti Tahun Baharu Cina menyebabkan pengunjung domestik memfokuskan lawatan ke perkampungan Melayu pesisir Sungai Tembeling di Hulu Tembeling.

"Sejak cuti mulai Sabtu lalu, ramai pengunjung datang secara berkeluarga menginap di kampung di sini untuk menikmati suasana kampung dan masakan tradisional Melayu berasaskan ikan sungai liar di Sungai Tembeling," katanya.

Alias yang memiliki pusat inap Sat Lodge berkata, bukan saja kalangan pengunjung Melayu, malah ada juga pelancong Cina yang melawat Kampung Kuala Sat kerana tertarik dengan keindahan alam semula jadi dan makanan tempatan di situ.

Berita Harian X