Selasa, 1 Februari 2022 | 10:59am
Asmadi (kanan) menyampaikan bantuan dapur zakat kepada Pengerusi Masjid Ittifaqiyyah Taman Seri Inderapura, Mohd Idris Abu Bakar (tengah) untuk diagihkan kepada asnaf. NSTP/MOHD RAFI MAMAT
Asmadi (kanan) menyampaikan bantuan dapur zakat kepada Pengerusi Masjid Ittifaqiyyah Taman Seri Inderapura, Mohd Idris Abu Bakar (tengah) untuk diagihkan kepada asnaf. NSTP/MOHD RAFI MAMAT

MUIP sedia RM170.9 juta untuk asnaf

KUANTAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) sudah mengagihkan bantuan zakat lebih RM170.9 juta kepada lapan asnaf dalam bentuk kewangan, barangan keperluan, membina dan membaiki rumah serta program keagamaan setakat pertengahan Disember lalu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman, berkata bantuan tertinggi diberikan MUIP sepanjang tahun lalu membabitkan Fisabilallah (jalan Allah) berjumlah lebih RM67.1 juta, diikuti golongan fakir dan miskin lebih RM76.4juta.

Beliau berkata, individu yang dilantik sebagai amil turut menerima bantuan lebih RM16.3 juta, manakala lebih RM10.3 juta diagihkan kepada golongan fakir, seterusnya mualaf (RM5.6 juta).

Katanya, tidak ketinggalan lebih RM5.2 juta disediakan kepada golongan gharimin atau individu yang mempunyai hutang, bantuan untuk Riqab (RM363,580) dan Ibnu Sabil (RM361,310).

"Kita sentiasa berusaha menyediakan bantuan diperlukan golongan asnaf di negeri ini, namun disebabkan tidak mempunyai maklumat lengkap menyebabkan bantuan tidak dapat disalurkan kepada mereka terbabit.

"Kerjasama masyarakat setempat termasuk ketua kampung dan penghulu amat diperlukan untuk memberi maklumat mereka yang memerlukan bantuan," katanya.

Asmadi berkata, tahun lalu pihaknya menyediakan peruntukan lebih RM40.9 juta untuk program pembangunan pendidikan dan lebih RM7.4 juta untuk program pembangunan masjid, surau serta tanah kubur.

"Perbelanjaan lebih RM1.8 juta digunakan untuk program kesihatan yang membabitkan bantuan mendapatkan rawatan termasuk menyediakan peralatan seperti katil, kerusi roda, anggota palsu dan alat bantuan pernafasan.

"MUIP menyediakan peruntukan lebih RM7.4 juta bagi menjayakan program dakwah dan pengurusan mualaf membabitkan bayaran sagu hati dan bantuan bulanan dalam tempoh tertentu.

"Jumlah bantuan disediakan MUIP setiap tahun bergantung kepada jumlah bayaran zakat diterima Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang," katanya yang berharap lebih ramai pembayar zakat tampil di negeri ini.

Berita Harian X