Selasa, 25 Januari 2022 | 9:44am
Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Besut, Nawi Mohamad mengunjungi Siti Maznah Hassan pada program jejak mesra pesakit terlantar di Kampung Kubang Depu, Hulu Besut. - Foto NSTP/Baharom Bakar
Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Besut, Nawi Mohamad mengunjungi Siti Maznah Hassan pada program jejak mesra pesakit terlantar di Kampung Kubang Depu, Hulu Besut. - Foto NSTP/Baharom Bakar

'Gagal dapat bantuan kerana nama dalam SSM'

BESUT: Seorang bekas pemilik kedai makan yang juga orang kurang upaya (OKU) mendakwa terpinggir daripada memperoleh bantuan hanya kerana nama masih berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Siti Maznah Hassan, 55, dari Kampung Kubang Depu, Hulu Besut, di sini, menghidap kencing manis yang menyebabkan kaki kirinya dipotong hingga ke paras lutut.

Dia yang lebih mesra dengan panggilan 'Mok Long' turut berdepan masalah buah pinggang bocor dan terpaksa menghabiskan masa di atas katil khas sejak awal tahun lalu.

Siti Maznah berkata, dia pernah memohon untuk mendapatkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tetapi permohonan ditolak susulan masih tersenarai di SSM.

Katanya, permohonan untuk mendapatkan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) juga turut ditolak kerana namanya antara individu yang berdaftar dengan SSM.

"Kaki kiri Mok Long terpaksa dipotong sehingga ke paras lutut bagi mengelakkan berlakunya jangkitan kuman ke seluruh tubuh pada Oktober tahun lalu.

"Mok Long terpaksa habiskan sisa kehidupan di atas katil khas disumbangkan badan bukan kerajaan (NGO) dari Kelantan," katanya.

NGO berkenaan turut menyumbangkan lampin pakai buang, susu khas dan peralatan perubatan.

Siti Maznah ditemui pada program jejak mesra pesakit terlantar anjuran pejabat penyelaras Dewan Undangan negeri (ADUN) Hulu Besut.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Besut, Nawi Mohamad.

Siti Maznah pernah membuka kedai makan di pasar Jertih, Besut dan berdaftar dengan SSM tetapi terpaksa menghentikan perniagaan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020.

Siti Maznah berkata, selain dia, anaknya Noor Fariehan Arifdin, 36, yang menjaganya turut dinafikan menerima bantuan di bawah kategori penjaga JKM.

Sementara itu, Nawi yang juga bekas EXCO kerajaan negeri meminta SSM mencari kaedah untuk permudahkan bantuan disalurkan kepada Siti Maznah.

Katanya, antara kaedah paling berkesan adalah mengeluarkan surat khas pembatalan lesen SSM bagi memudahkan Siti Maznah memohon bantuan daripada agensi kerajaan termasuk JKM.

Berita Harian X