Ahad, 23 Januari 2022 | 9:25am

MBI selenggara perparitan kurangkan impak banjir kilat

IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) giat menyelenggara dan membaikpulih sistem perparitan sejak tahun lalu, bagi mengelak banjir lebih buruk setiap kali ketibaan musim tengkujuh.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, kerja pembaikan itu dilakukan secara berperingkat dalam usaha menangani masalah itu.

"Dalam kerja pembaikan ini sebenarnya sudah bermula sejak daripada tahun lalu lagi secara berperingkat. Namun, mungkin terdapat beberapa kesilapan dan hujan luar biasa baru-baru ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir pada Majlis Perasmian Projek Light Art in the City Ipoh yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi di Medan Selera Dato Tahwil Azar di sini malam tadi.

Beliau diminta mengulas berhubung insiden banjir kilat yang berlaku di beberapa lokasi sekitar bandaraya Ipoh baru-baru ini.

Rumaizi berkata, bagaimanapun kesan daripada gerak kerja awal yang sudah dilakukan itu sedikit sebanyak mengurangkan impak banjir lebih buruk.

"Ada juga kesan apabila kita lakukan penyelenggaraan dan pembaikan awal, memang ada banjir kilat tetapi ia tidak seteruk seperti yang diramalkan," katanya.

Malah, beliau berkata, pihaknya sudah mula membuka Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sebagai persiapan jika berdepan insiden banjir di luar jangkaan.

"Bagaimanapun kita akan mengambil tindakan seperti yang dimaklumkan Menteri Besar Perak baru-baru ini. Tindakan juga bukan hanya membabitkan MBI sahaja tetapi daripada semua pihak," katanya.

Sementara itu, Nolee Ashilin berkata, kerajaan negeri akan melihat kepada keperluan bagi menyalurkan bantuan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negeri.

"Kita memang ada peruntukan untuk bencana, ia akan melihat kepada keperluan sekiranya perlu kita membuat penambahan lagi kepada PBT yang memerlukan.

"Ini kerana ia (banjir) perkara selalu yang kita hadapi dan kita akan sentiasa memantau kawasan mana yang perlu diberi keutamaan untuk diberi tindakan penyelesaian segera," katanya.

Mengenai Projek Light in the City, beliau berkata, ia adalah inisiatif lanjutan daripada program Art In The City oleh Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA), Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dengan kerjasama Think City.

Katanya, projek itu adalah instalasi seni artis kelahiran Taiping, Perak Liu Cheng Hua yang terpilih menjayakan projek dengan bertajuk 'Pride #3'.

"Saya difahamkan lanjutan daripada projek ini juga, kita akan meneruskan kerjasama untuk mengadakan pelbagai program yang disusun oleh penganjur bukan sahaja di Ipoh tetapi membabitkan empat lagi lokasi di seluruh negara.

"Ia adalah usaha memulihkan seni dan budaya serta industri kreatif, jadi program ini penting untuk menyokong kepada peningkatan kemasukan pelancongan juga peningkatan ekonomi," katanya.

Projek Light in the City Ipoh adalah kesinambungan inisiatif Projek Light oleh Jun Ong di The Godown di Kuala Lumpur untuk menghidupkan bandar melalui seni awam dan persembahan.

Pride #3 adalah hasil karya bersiri Liu 'Pride of the Portrait' yang dimulakan pada 2010 dan mengambil inspirasi menara jam di Perak dengan sembilan menara dipilih untuk instalasi ini menggunakan blok kaca dan lampu LED berkuasa 100 peratus tenaga solar bagi mempamerkan lukisan digital menara jam itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi merasmikan Projek Light in the City ipoh di Medan Selera Dato Tahwil Azar di Ipoh, malam tadi. Turut hadir, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin. - NSTP/Balqis Jazimah Zahari
Pengerusi Jawatankuasa Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi merasmikan Projek Light in the City ipoh di Medan Selera Dato Tahwil Azar di Ipoh, malam tadi. Turut hadir, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin. - NSTP/Balqis Jazimah Zahari
Berita Harian X