Selasa, 18 Januari 2022 | 10:27am
Tular di media sosial dakwaan aktiviti pembalakan di Kompartment 17 Hutan Simpan Kledang Saiong di Kuala Kangsar. - Foto Ihsan Pembaca
Tular di media sosial dakwaan aktiviti pembalakan di Kompartment 17 Hutan Simpan Kledang Saiong di Kuala Kangsar. - Foto Ihsan Pembaca

Siasat dakwaan pembalakan Hutan Simpan Kledang Saiong

IPOH: Kerajaan negeri mengarahkan Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNPk) menyiasat dakwaan aktiviti pembalakan di Kompartment 17 Hutan Simpan Kledang Saiong di Kuala Kangsar, seperti yang tular baru-baru ini

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan mahupun aduan mengenai aktiviti pembalakan yang dimaksudkan serta tidak menolak kemungkinan ia adalah gambar lama yang dikitar semula.

"Ini macam gambar 'recycle' (kitar semula). (Apapun) kita akan periksa mengenai isu ini kepada Jabatan Hutan (Jabatan Perhutanan Negeri Perak- JPNPk) sebelum siasatan dijalankan.

"Kalau benar memang berlaku sekarang, kita siasat. Pelakunya boleh didakwa dan dihukum dengan berat kerana mencuri kayu balak dan tiada lesen (sekarang)," katanya pada Majlis Penyerahan Kit Kebun Kita (Jabatan Pertanian) menerusi Program MESRA 2.0 di Dewan Azumu, Halaman Meru Impian, di sini, semalam.

Beliau ditanya hantaran tular baru-baru ini yang disertakan beberapa keping gambar di Facebook mengenai pembalakan berlesen yang dikatakan kembali berlaku di Hutan Simpan Kledang Saiong, Kuala Kangsar.

Bagaimanapun, berdasarkan satu daripada gambar terbabit yang memaparkan papan tanda pemakluman berkenaan aktiviti pembalakan kawasan itu, tempoh lesen yang dikeluarkan adalah daripada 1 Mei 2019 sehingga 31 Oktober tahun yang sama membabitkan penerokaan seluas 80 hektar di Kompartmen 17 hutan simpan itu.

Sementara, dalam perkembangan lain, Saarani berkata, hasil rundingan yang gagal mencapai penyelesaian mengenai isu notis pengusiran kepada kira-kira 200 petani di Kanthan dan Tanah Hitam, Chemor di sini oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) membuatkan pihaknya kini hanya menunggu perintah mahkamah.

"Ia sudah kes mahkamah. Jadi kita tunggu 'court order' (perintah mahkamah) sebab perundingan yang dibuat tidak menampakkan jalan penyelesaian," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan lebih 130 petani generasi ketiga di Kanthan, diarahkan oleh PKNP supaya mengosongkan lebih 1,000 ekar tanah diusahakan sejak lebih enam dekad lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri Perak, Razman Zakaria kemudiannya dilaporkan berkata, kerajaan negeri memberi komitmen bagi menyediakan kawasan gantian yang dilengkapi infrastruktur kepada petani terbabit.

Saarani berkata, kerajaan negeri perlu membuat persiapan bagi menyediakan prasarana di kawasan pertanian terbabit termasuk untuk membangunkan Silver Valley Technology Perak (SVTP) berikutan permintaan tinggi yang diterima daripada pelabur luar.

Beliau berkata, pembangunan fasiliti dan prasarana ke arah kawasan perindustrian di kawasan itu akan bermula sesudah selesai isu pemutihan tanah di kawasan terbabit.

"Jadi SVTP ini adalah satu daripada kawasan perindustrian yang kita cadangkan untuk digunakan pelabur yang mana pembangunannya akan disegerakan seperti dijadualkan bagi menggamit kedatangan mereka.

"Selesai sahaja (pemutihan tanah), kita akan buat kerana sudah terima permintaan pelabur, dan kita faham keperluan mereka datang ke Perak.

"Ini memandangkan kawasan perindustrian di Selangor dan Pulau Pinang sudah sesak, maka pelabur minat datang ke sini," katanya.

Berita Harian X