Isnin, 17 Januari 2022 | 7:27pm

Patuhi SOP elak penularan COVID-19

JOHOR BAHRU: Polis Johor menasihatkan penganut Hindu yang menyambut Thaipusam esok, supaya mematuhi sepenuhnya prosedur standard operasi (SOP) ditetapkan kerajaan.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata ia bagi memastikan perjalanan sambutan termasuk perarakan di kuil yang dibenarkan berjalan lancar selain memastikan tiada penularan wabak COVID-19.

"Di negeri ini, sebanyak 26 kuil mengadakan sambutan Thaipusam dengan tujuh kuil dibenarkan untuk melakukan perarakan.

"Ketua Polis daerah sudah diarahkan supaya bekerjasama dan berbincang dengan pengerusi kuil bagi memastikan perjalanan sambutan kali ini berjalan lancar dan mematuhi SOP sepenuhnya.

"Polis menasihatkan orang ramai yang menyertai sambutan Thaipusam esok supaya mematuhi SOP dan arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau persediaan sambutan Thaipusam di Kuil Arulmigu Sri Bala Subramaniar, Skudai, hari ini.

Kamarul Zaman turut meninjau persiapan Thaipusam di Kuil Kovil Sri Subramaniar Paripalana Saba, Masai, di sini.

Terdahulu, Kamarul Zaman turut mengadakan dialog dan perbincangan dengan pengerusi kuil bagi memastikan perjalanan sambutan Thaipusam esok berjalan lancar.

Tinjauan yang dilakukan di Kuil Arulmigu Sri Bala Subramaniar, Skudai mendapati penganut Hindu sudah mula hadir ke kuil petang ini untuk bercukur bagi memenuhi nazar yang dibuat.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat (kiri) memantau pematuhan SOP persediaan menyambut Perayaan Thaipusam di Kuil Arulmigu Sri Bala Subramaniar, Skudai, Johor. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat (kiri) memantau pematuhan SOP persediaan menyambut Perayaan Thaipusam di Kuil Arulmigu Sri Bala Subramaniar, Skudai, Johor. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Berita Harian X