Jumaat, 14 Januari 2022 | 12:18pm
Che Mas bersama anak-anaknya di rumah mereka di Penambang Hilir, Kota Bharu. - Foto NSTP/Hazira Ahmad Zaidi
Che Mas bersama anak-anaknya di rumah mereka di Penambang Hilir, Kota Bharu. - Foto NSTP/Hazira Ahmad Zaidi

Ibu buta selepas bersalin

KOTA BHARU: Seorang warga emas dari Kampung Kampung Bunga Mas, Penambang Hilir, di sini, menjadi buta selepas melahirkan anak bongsunya lebih 20 tahun yang lalu.

Che Mas Awang, 68, berkata biarpun diuji dengan kehilangan penglihatan selepas melahirkan anak bongsunya, Siti Aisyah Jaafar, 28, dia reda ditarik nikmat penglihatan oleh Allah.

Katanya, ketika usianya belasan tahun, matanya sudah bermasalah apabila penglihatannya mulai kabur, terutamanya pada waktu malam, namun hanya menganggap itu perkara biasa.

"Saya tidak menyangka, masalah penglihatan yang dialami ketika di usia muda memberi kesan sehinggalah kedua-dua mata menjadi buta selepas melahirkan anak bongsu.

"Pemeriksaan yang dilakukan oleh doktor selain ujian CT Scan (pengimbasan tomografi berkomputer) di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) pada waktu itu dikesan terdapat masalah di bahagian selaput mata sehingga menjejaskan penglihatan.

"Selepas itu, mata saya semakin hari menjadi semakin kabur sehinggalah dalam tempoh tiga tahun saya buta sepenuhnya," katanya.

Ibu kepada lima anak berusia antara 27 hingga 42 tahun ini berkata, walaupun beliau mampu menguruskan diri seperti ke dapur atau ke tandas. "Selepas arwah suami saya, Jaafar Ibrahim meninggal dunia pada tahun 2015 disebabkan sakit tua, saya kini tinggal bersama lima anak, menantu serta cucu," katanya.

Berita Harian X