Khamis, 13 Januari 2022 | 11:05am
Kakitangan SAINS dan SPAN memeriksa sambungan air dilakukan kontraktor dipercayai mencuri air terawat SAINS untuk kerja membina banglo di Mantin. FOTO IHSAN SAINS
Kakitangan SAINS dan SPAN memeriksa sambungan air dilakukan kontraktor dipercayai mencuri air terawat SAINS untuk kerja membina banglo di Mantin. FOTO IHSAN SAINS

Kontraktor 'kantoi' curi air bina banglo

SEREMBAN: Tindakan kontraktor menggunakan air milik Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) secara haram bagi kerja pembinaan banglo dua tingkat di Mantin, dekat sini, berjaya dikesan petang semalam.

Susulan itu, serbuan dilakukan pegawai Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Muhammad Naqib Aniq Abdul Kahar bersama anggota penguat kuasa SAINS di lokasi terbabit.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Sains, Norzita Ismail berkata, operasi serbuan dilakukan jam 2 petang sebaik menerima maklumat mengenai kegiatan kontraktor berkenaan.

"Hasil siasatan di tapak mendapati penghuni premis melakukan penyambungan tidak sah menggunakan paip getah bersaiz 16 milimeter (mm) tanpa melalui sebarang meter.

"Bekalan air melalui sambungan tidak sah itu digunakan untuk kerja pembinaan premis berkenaan.

"Pegawai penguat kuasa SAINS turut menjalankan ujian klorin di lokasi berkenaan dan terbukti bekalan air digunakan adalah air terawat milik SAINS dan pihak SPAN menyita semua pemasangan serta punca sambungan dibuat sebagai bahan bukti," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 123 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 dan sekiranya disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Katanya, SAINS mengingatkan semua pihak tidak melakukan perbuatan mencuri air kerana ia menyalahi undang-undang dan boleh menjejaskan kepentingan pengguna.

Beliau mengucapkan terima kasih di atas bantuan dan kesedaran masyarakat membantu SAINS dalam usaha mengurangkan kes kecurian air dan orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol SAINS 1-800-88-6982 untuk melaporkan sebarang kes mencuri air.

Berita Harian X