Isnin, 10 Januari 2022 | 10:28am
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan menangkap seekor gajah liar jantan dalam satu operasi tangkapan gajah di kawasan kebun di Kampung Salor, Jeli, Jumaat lalu. - Foto NSTP/Ihsan PERHILITAN
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan menangkap seekor gajah liar jantan dalam satu operasi tangkapan gajah di kawasan kebun di Kampung Salor, Jeli, Jumaat lalu. - Foto NSTP/Ihsan PERHILITAN

PERHILITAN tangkap gajah liar

KOTA BHARU: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan menangkap seekor gajah liar jantan dalam satu operasi di kawasan kebun di Kampung Salor, Jeli, Jumaat lalu.

Operasi tangkapan itu dilakukan jam 5 petang oleh Unit Tangkapan Gajah (UTG) susulan aduan diterima daripada penduduk sejak Ogos lalu berhubung gangguan gajah liar di beberapa kampung iaitu Kampung Salor, Kampung Batu Melintang, Kampung Jerek, Kampung Lawar dan Kampung Pendok.

PERHILITAN menerusi kenyataan media hari ini, memaklumkan gajah yang ditangkap itu adalah gajah jantan dengan anggaran ukuran tapak kaki hadapan 14 inci.

"Gajah ini adalah daripada kumpulan gajah Gunung Basor dengan anggaran populasi lebih dari 30 ekor dan dipercayai keluar dari Hutan Simpan Kekal (HSK) Gunung Basor untuk mencari sumber makanan.

"Jabatan PERHILITAN mengambil tindakan seperti memberi khidmat nasihat kepada penduduk setempat, pemantauan dan

kawalan di kawasan konflik selain menggunakan kaedah tembak halau bagi memastikan gajah liar berkenaan kembali semula ke hutan simpan berhampiran.

"Operasi tangkap pindah ini adalah langkah susulan bagi mengelakkan kerugian berterusan kepada penduduk setempat dan memastikan keselamatan gajah liar daripada diancam pemburuan haram," katanya.

PERHILITAN turut memaklumlam, operasi pindah gajah liar itu dirancang dilakukan esok dan gajah berkenaan akan dilepaskan ke habitat semula jadi di Taman Negara dengan kerjasama daripada Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang Pahang.

Katanya, penduduk kampung dinasihatkan agar sentiasa membersihkan kawasan tanaman dan kebun supaya tidak dibiarkan bersemak sebagai langkah untuk mengurangkan risiko konflik hidupan liar di kawasan berkenaan.

"Pihak Jabatan ingin menjelaskan bahawa operasi tangkap pindah gajah bukan penyelesaian jangka panjang terutamanya di kawasan kebun atau ladang yang berhampiran dengan kawasan hutan simpan.

"Langkah mitigasi yang lebih efektif seperti sistem pagar elektrik gajah (SPEG) adalah salah satu kaedah yang paling berkesan untuk menghalang gajah liar memasuki kawasan tanaman," katanya.

Berita Harian X