Sabtu, 8 Januari 2022 | 12:47pm
Ahli Parlimen Jerantut yang juga Pengerusi PUNB, Datuk Ahmad Nazlan Idris menyampai bantuan kepada penduduk terjejas banjir di Kampung Som dan dan kampung Lata Kasah di Jerantut, hari ini. - NSTP/ROSELAN AB MALEK
Ahli Parlimen Jerantut yang juga Pengerusi PUNB, Datuk Ahmad Nazlan Idris menyampai bantuan kepada penduduk terjejas banjir di Kampung Som dan dan kampung Lata Kasah di Jerantut, hari ini. - NSTP/ROSELAN AB MALEK

53 syarikat usahawan PUNB rugi RM10.5 juta akibat banjir

JERANTUT: Sebanyak 53 syarikat rakan usahawan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) di Selangor, Pahang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan mengalami kerugian kira kira RM10.5 juta akibat banjir, baru baru ini.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Nazlan Idris, berkata usahawan dari Selangor paling ramai terjejas iaitu membabitkan 38 rakan usahawan dengan kerugian kira kira RM8.3 juta, diikuti Pahang, seramai sembilan rakan usahawan dengan kerugian RM1.8 juta; Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, tiga usahawan (RM265,000); Melaka, dua usahawan( RM65,000) dan Negeri Sembilan seorang usahawan (RM10,000).

Katanya ,PUNB amat prihatin nasib rakan usahawan yang terjejas akibat banjir dan sudah menawarkan moratorium sehingga enam bulan bermula 1 Januari lalu.

Ahmad Nazlan berkata, inisiatif itu bertujuan mengurangkan beban kewangan ditanggung rakan usahawan yang terjejas akibat banjir.

"PUNB sentiasa fokus membantu semua rakan usahawan yang terjejas dan berharap inisiatif ini dapat membantu meringankan kesulitan kewangan yang dihadapi pada masa mencabar ini.

" Sebagai badan yang berperanan meningkatkan penyertaan dan pembabitan Bumiputera dalam bidang keusahawanan serta melahirkan masyarakat, perdagangan dan

perindustrian Bumiputera, PUNB sentiasa bersikap dinamik untuk membantu rakan usahawan sedia ada," katanya.

"Justeru, rakan usahawan PUNB yang menghadapi kesukaran untuk meneruskan komitmen pembayaran pembiayaan boleh memohon moratorium tertakluk kepada syarat ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan kepada penduduk yang terjejas banjir di Kampung Som dan kampung Lata Kasah di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jerantut berkata, rakan usahawan yang layak boleh menghubungi pegawai pemantau melalui telefon di talian 1300-13-7862 atau e-mel ke customerservice@punb.com.my.

Sementara itu, Ahmad Nazlan berkata, sebagai syarikat di bawah Jabatan Perdana Menteri, PUNB komited menjadi peneraju pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan usahawan Bumiputera dalam sektor peruncitan, perdagangan dan pengedaran sehingga peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, usaha untuk menjadikan PUNB sebagai pusat kecemerlangan terulung dalam pembangunan keusahawanan dan menyediakan peluang kepada usahawan Bumiputera mencapai kejayaan dalam perniagaan melalui sokongan kewangan dan korporat dapat direalisasikan sebaik mungkin.

Berita Harian X